Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Dengan hasrat untuk memupuk semangat perpaduan dan pemedulian dalam kalangan penduduk kampung bagi membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik termasuk anak-anak yatim, Kampung Ukong telah mengadakan Acara Walkaton Sambil Menderma Kepada Anak-anak Yatim Kampung Ukong Sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat dan sama-sama menyertai acara walkaton yang berlangsung di Gelanggang Sukan Kampung Ukong, Tutong itu ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit, penghulu Mukim Telisai selaku pemangku penghulu Mukim Ukong; Penasihat Majlis Perundingan Kampung (MPK) Ukong, Awang Bentong bin Antaran; Pemangku Ketua Kampung Ukong, Awang Mohd Hakimi bin Abdullah Gampar serta penduduk Kampung Ukong.
Ketua Biro Sukan MPK Ukong, Awang Kamal bin Ringgit dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa acara itu diadakan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37.
Beliau turut menyatakan bahawa atas kesepakatan serta muafakat ahli Jawatankuasa Kampung Ukong telah bersetuju untuk membentuk satu tabung khusus untuk anak-anak yatim Kampung Ukong bagi lima orang anak yatim yang berusia di bawah 15 tahun.
Menerusi pembentukan tabung itu, ia diharap akan dapat meringankan beban mereka dalam menempuh kehidupan seharian.
Majlis diteruskan dengan sesi senamrobik sebelum perasmian acara walkaton sambil menderma kepada tabung anak-anak yatim Kampung Ukong yang disempurnakan oleh Haji Haizul Rizal.
Selain sebagai usaha untuk mengutip derma bagi tabung anak yatim kampung berkenaan, acara walkaton juga dihasratkan untuk memupuk gaya hidup yang sihat dan aktif melalui kegiatan senaman serta riadah.
