TEMBURONG, 3 April – Sempena Sambutan Hari Polis ke-96 tahun 2017,Daerah Polis Temburong, semalam, telah mengadakan walkaton di Pekan Bangar, di sini yang dihadiri lebih kurang 200 orang peserta.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Pesuruhjaya Polis (Assistant Commissioner of Police) Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Metali. Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Daerah Temburong, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu selaku Penghulu Mukim Bokok.
Selain walkaton, acara berkenaan turut dimeriahkan dengan pameran kerjaya oleh Pusat Latihan Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, pameran dan jualan Satu Kampung Satu Produk, Daerah Temburong serta persembahan daripada Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei di Ruang Legar Kompleks Bumiputera Pekan Bangar.
Walkaton kira-kira 2km itu merangkumi perjalanan mengelilingi Kampung Menengah dan diadakan sebagai salah satu aktiviti daerah polis dalam Sambutan Hari Polis.
Ia bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat sejajar dengan tema sambutan tahun ini iaitu ‘Perpaduan dan Keharmonian Mengukuhkan Keamanan’, yang mana aktiviti walkaton tersebut adalah secara ‘non-competitive’ dan menjurus kepada beriadah sambil bersatu bersama masyarakat dalam menjalankan kehidupan yang sihat dan aman.
