Friday, January 17, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Walkaton sempena HK-40

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Dengan matlamat untuk memeriahkan lagi sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK-40) dan meningkatkan kesedaran amalan gaya hidup sihat melalui kegiatan riadah, ahli jawatankuasa (AJK) masjid, pegawai-pegawai hal ehwal masjid di Kawasan Zon 4B dan Masjid Kampung Sungai Besar mengadakan acara walkaton yang bermula dan berakhir di Masjid Kampung Sungai Besar, hari ini.

    Hadir bagi sama-sama menyertai acara riadah berkenaan ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri dan Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini bin Haji Damit.

    Riadah walkaton sejauh kira-kira 5 kilometer berkenaan turut disertai oleh pegawai hal ehwal masjid, AJK masjid, belia dan beliawanis serta Muslimah dari masjid-masjid Kawasan Zon 4B.

    Terdahulu sebelum itu, para peserta telah mendengar sesi ceramah kuliah subuh yang disampaikan oleh Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Islam Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar yang mengupas kelebihan serta pengajaran berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj.

    Acara riadah itu, selain bagi memeriahkan lagi sambutan perayaan bagi memperingati ulang tahun HK-40, juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kehidupan, mengeratkan hubungan silaturahim dan mengimarahkan masjid menerusi aktiviti-aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

    Haji Amir Hisham, Dr Haji Adanan, Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini turut serta dalam acara walkaton berkenaan. – GAMBAR SERAHAN AJK MASJID KAMPUNG SUNGAI BESAR
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda