Monday, October 7, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Walkaton sempena Tahun Baharu Hijrah

    Oleh Yusrin Junaidi & Daniel Lim –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Sempena Menyambut Tahun Baharu Hijrah 1446, Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) Kilanas menganjurkan acara Walkaton Hijrah Milal Masjid Ilal Masjid bagi masjid-masjid di bawah kawalan Mukim Kilanas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Hadir bersama ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin yang juga merupakan Penghulu Mukim Lumapas.

    Tujuan utama acara ini diadakan adalah bagi menyemarakkan lagi kedatangan tahun 1446 Hijrah, memberikan peluang kepada jemaah dan penduduk kampung untuk beriadah berjalan kaki secara berjemaah yang merupakan sunnah Baginda Rasullah SAW serta mewujudkan semangat kesepakatan dalam kalangan penduduk Mukim Kilanas untuk bekerjasama.

    Acara ini adalah yang julung kalinya diadakan bagi Mukim Kilanas yang melibatkan kesemua masjid yang ada di dalam mukim tersebut iaitu Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit (DRIPAD); Masjid Kampung Kilanas; Masjid Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Jangsak; Masjid Kampung Bunut; Masjid Ar–Rahman, Kampung Tanjung Bunut; dan Masjid Kampung Bengkurong.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan antara peserta yang menyertai walkaton berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Antara peserta yang turut serta semasa aktiviti walkaton. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Haji Saidin dan antara peserta yang mengambil bahagian dalam senaman aerobik. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Acara yang disertai oleh para jemaah dan penduduk kampung itu bermula dari masjid kampung masing-masing dan menuju ke Masjid DRIPAD.

    Selain itu, para jemaah Muslimah dari masjid-masjid di Mukim Kilanas turut menyemarakkan acara tersebut dengan mengadakan aktiviti keagamaan di dalam Masjid DRIPAD dengan membaca Asma Al-Husna, Selawat Tafrijiyyah dan dikir.

    Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Lorong Tiga Selatan, Seria dan penduduk sekitarnya turut tidak ketinggalan untuk memperingati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah dan menyambut Tahun Baharu Hijrah 1446 dengan menganjurkan pelbagai aktiviti kelmarin.

    Aktiviti yang diadakan di perkarangan masjid berkenaan bermula pada awal pagi selepas solat Subuh di mana sesi ceramah mengetengahkan kepentingan sambutan berkenaan.

    Selepas matahari terbit, para hadirin kemudiannya mengambil bahagian dalam senaman aerobik untuk memanaskan badan bagi sesi walkaton di mana para peserta berjalan kaki di sepanjang bahu jalan sambil mengelilingi sekitar kawasan kampung.

    Antara ahli yang mengambil bahagian termasuk Pemangku Penghulu Mukim Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda