Walt Disney Springs dibuka semula

ORLANDO, AMERIKA SYARIKAT, 19 MEI – Ketika Walt Disney World bersiap sedia untuk membenarkan beberapa kedai dan restoran untuk dibuka semula di kompleks hiburannya akhir minggu ini, pihaknya telah mengeluarkan amaran.

Meskipun langkah-langkah keselamatan dipertingkatkan sedang dilakukan di Disney Springs, “risiko pendedahan COVID-19 ada di mana-mana sahaja di tempat awam,” kata syarikat itu kelmarin di laman web taman tema hiburan tersebut.

“Penularan virus COVID-19 boleh menyebabkan penyakit yang teruk dan kematian. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, warga emas dan pelawat yang mempunyai masalah kesihatan mempunyai risiko yang tinggi terhadap jangkitan,” menurutnya.

“Apabila mengunjungi Disney Springs, anda akan menanggung semua risiko yang berkaitan dengan pendedahan kepada COVID-19.”

Pembukaan beberapa kedai dan restoran di Disney Springs Rabu lalu menandakan langkah kecil terbaharu yang diambil oleh resort taman tema Orlando itu untuk dibuka semula sejak pertengahan Mac lalu akibat penularan koronavirus yang memaksa mereka menutup perniagaan mereka.

Beberapa kedai dan restoran Walt Disney World bersiap sedia untuk dibuka semula di kompleks hiburannya akhir minggu ini, ia juga mengeluar amaran mengenai bahaya koronavirus yang menasihati para pengunjung bahawa mereka akan menanggung semua risiko yang berkaitan dengan pendedahan kepada COVID-19. – AP

Minggu lalu, Universal Orlando membenarkan pembukaan kira-kira setengah dozen restoran dan kedai makan serta dua buah kedai runcit dan beberapa gerai barangan di kompleks hiburan Citywalk itu.

Minggu depan, Disney World merancang untuk membuka lebih banyak kedai dan restoran di Disney Springs termasuk pusat membeli-belah, restoran, pawagam, pusat boling dan teater Cirque du Soleil.

Semua pekerja dan pengunjung yang berumur dua tahun ke atas diminta memakai penutup mulut dan hidung di Disney Springs.

Pekerja dan pelawat juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan dan sesiapa yang mempunyai suhu melebihi 100.4 darjah tidak dibenarkan masuk.

Jumlah pelawat yang dibenarkan adalah terhad untuk menggalakkan penjarakan sosial dan stesen pembersih dan pensanitasi tangan juga akan disediakan, kata syarikat itu.

Pegawai Disney World dan Universal tidak mengatakan bila mereka merancang untuk membuka semula taman tema dan hotel di resort itu.

Setelah berunding dengan syarikat berkenaan, kesatuan pekerja yang mewakili lebih separuh daripada 77,000 pekerja di Disney World minggu lalu mengatakan bahawa pekerja yang dijangkiti COVID-19 akan mendapat cuti bergaji semasa berada dalam kuarantin.

Para pekerja yang mempunyai gejala virus juga dibenarkan tinggal di rumah tanpa dikenakan tindakan disiplin kerana tidak hadir. Pekerja akan diberi termometer jika mereka mahu dan setiap pekerja akan diberikan tiga penutup mulut dan hidung, mengikut syaratsyarat yang telah dipersetujui. – AP