KUALA LUMPUR, 19 FEB – Pemain beregu lelaki Malaysia, Wan Arif Wan Junaidi memasang impian untuk merangkul gelaran sulung bersama pasangan Yap Roy King pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia tahun ini.
Wan Arif mendedahkan sasaran itu menjelang Terbuka Jerman 2025, yang dijadual berlangsung di Mulheim an der Ruhr dari 25 Februari hingga 2 Mac ini.
Beliau berkata keyakinan itu melonjak selepas mempamerkan persembahan memberangsangkan pada Indonesia Masters 2025 bulan lepas, biarpun tersingkir di peringkat suku akhir kepada rakan sepasukan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, 15-21, 16-21.
“Saya harap lepas masuk suku akhir (Indonesia Masters 2025) tempoh hari, kami punya keyakinan lebih tinggi, dapat main lebih sabar dan konsisten lagi.
“Buat masa ini kami sasar satu gelaran dulu, lepas satu gelaran mungkin keyakinan sudah lain,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di Kuala Lumpur semalam.
Biarpun masih belum berjaya memenangi gelaran Jelajah Dunia, Wan Arif-Roy King pernah menjadi juara Cabaran Antarabangsa Nantes 2023 di Perancis.
Pada Terbuka Jerman 2025, pasangan ranking ke-19 dunia itu dijangka membuka kempen kejohanan bertaraf Super 300 berkenaan berdepan pasangan Denmark William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer.
Sementara itu, beliau berkata prestasi memberangsangkan Wei Chong-Kai Wun termasuk bergelar juara Indonesia Masters 2025 telah mencetuskan persaingan sihat dalam kem beregu lelaki Malaysia.
Wan Arif berkata pengalaman bekas juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga banyak membantu rakan sepasukan lain dalam memperbaiki prestasi mereka terutamanya ketika menjalani latihan bersama. – Bernama
