KUCHING, 27 JAN – Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru masyarakat Cina untuk terus bersama-sama memperkukuh lagi integrasi merentasi kaum bagi memastikan pembangunan yang inklusif dan mampan.
Beliau berkata usaha untuk menggalakkan integrasi itu tidak seharusnya terbatas kepada wacana semata-mata tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan yang nyata dan berkesan.
“Kerjasama erat antara kaum hendaklah dijadikan keutamaan untuk memastikan kesejahteraan bersama dapat dicapai,” katanya dalam perutusan khas sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025.
Beliau berkata masyarakat Bumiputera juga harus memanfaatkan pengalaman dan kepakaran komuniti Cina dalam bidang ekonomi, keusahawanan dan pendidikan untuk meningkatkan daya saing bersama.
“Masyarakat Cina telah memainkan peranan penting dalam memacu kejayaan Sarawak,” kata beliau sambil menambah di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg komuniti itu terus menjadi rakan strategik dalam pelbagai inisiatif pembangunan negeri.
Wan Junaidi berkata pendidikan turut ditekankan sebagai elemen penting dalam pembangunan Sarawak dan menyeru agar semua kaum bersama-sama menguasai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) selain Bahasa Inggeris. – Bernama