“Virus ini kita tidak nampak, ia bukan seperti bebola api yang kita boleh elak.
“Virus ini juga tidak mengenal manusia, warna kulit, agama dan bangsa, jadi tolonglah patuh arahan kerajaan supaya duduk di rumah, janganlah ingkar.”
Demikian luahan pelakon veteran, Wan Maimunah dalam sebak apabila berkongsi mengenai keadaannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bintang air mata itu menggesa orang ramai mematuhi saranan kerajaan supaya penularan virus COVID-19 dapat dihentikan.
“Orang sudah ramai yang dijangkiti dan peralatan di hospital entah cukup atau tidak. Doktor dan jururawat entah masih bertenaga atau tidak.

Ada yang masih menyusukan anak, bagaimana keadaan mereka apabila perlu bekerja dalam keadaan begini? Mesin bekerja 24 jam pun boleh parah, ini pula manusia.
“Tolonglah fikir semua itu. Saya sedih dengan hanya memikirkan nasib mereka. Ramadan makin dekat, takkan kita tak mahu solat terawih? Jadi akurlah arahan kerajaan.
“Jagalah kebersihan dan sebagai orang Islam, sentiasalah dalam wuduk. Dengan itu anggota kita akan sentiasa bersih.
“Bukanlah mahu kata saya alim sangat, risau juga apa yang dikatakan ini disalah tafsir, tapi itulah yang sepatutnya dilakukan. Sentiasa istighfar, berzikir dan sebagainya,” katanya kepada media.
Berkongsi mengenai perkembangan terbaharu dirinya terutama kesihatan, Wan memberitahu, dia baik-baik sahaja dan berehat di kediamannya di Kota Puteri, Selangor.
“Apabila kita terima dengan hati terbuka dan ikhlas melakukan, Alhamdulillah tiada masalah mengikut arahan duduk di rumah. Saya buatlah apa yang patut seperti menjahit, membaca dan sebagainya.
“Tipulah saya tidak terasa dengan PKP ini, banyak penggambaran saya perlu ditangguhkan. Namun, tidak mengapa sebab semuanya sudah diatur baik oleh Allah.
“Allah tidak zalim, kita sebenarnya yang zalim, kerajaan sudah suruh duduk rumah tapi kita ingkar.
“Bagi saya rezeki ada di mana-mana… Ketenangan itu juga rezeki, bukan duit saja. Alhamdulillah, saya ada simpanan… Insya Allah masih boleh bertahan,” katanya.
Wan Maimunah mengaku mengalami masalah paru-paru sempit dan memerlukan sokongan pam.
“Dalam sehari saya perlu pam dua kali, tidak boleh terlepas buat masa ini. Tapi dengan izin Allah, semuanya makin baik, saya rasa lebih kuat dan bertenaga sekarang.
“Disebabkan faktor usia ini, saya takut untuk keluar.
Jadi, saya duduk saja di rumah buat apa yang patut,” katanya.
Walau bagaimanapun, luahnya, perkongsiannya itu bukanlah untuk menagih simpati orang ramai. – Agensi