Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin mengakui bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Bab 165 Kanun Hukuman Jenayah apabila seorang penjawat awam memperoleh sesuatu yang berharga tanpa pertimbangan atau dengan pertimbangan, daripada orang yang terlibat dalam urusan yang dilakukan penjawat awam tersebut.
Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) melarang penjawat awam dan keluarga mereka daripada menerima hadiah selain daripada hadiah daripada rakan atau saudara-mara.
Haji Nabil juga mengakui menyedari larangan di bawah peraturan itu yang ditekankan oleh QC Jonathan Caplan dalam pembalasan balasnya, hari ini di Mahkamah Tinggi.
Haji Nabil dalam keterangannya berkata, masalah tidak akan timbul dengan pihak berkuasa mengenai jumlah besar wang yang dimasukkan ke dalam akaun banknya jika langkah berjaga-jaga diambil, seperti contoh melaporkan hadiah yang diterima kepada pegawai atasan yang kemudiannya memberi kebenaran untuk hadiah tersebut disimpan.
Katanya lagi, dia telah menasihatkan Ramzidah untuk melaporkan penerimaan wang tunai daripada warga Malaysia itu kepada ketua hakim pada masa itu, dan percaya yang isterinya telah berbuat demikian.
Dia juga mengingatkan isterinya untuk melaporkannya lagi kepada atasannya antara tahun 2000-2017.
“Saya akan memberitahu yang saya bukan penerima wang tersebut tetapi wang itu diterima isteri saya sebagai hadiah,” kata Haji Nabil dalam menjawab pertanyaan pihak pendakwa yang ingin mengetahui apa yang akan diberitahu Haji Nabil kepada pihak berkuasa mengenai jumlah besar wang dalam akaunnya, termasuk wang $2.5 juta yang diterima Ramzidah daripada arwah abangnya.
Haji Nabil seterusnya memberitahu mahkamah, sebelum mengisytiharkan harta mereka bagi tujuan penyiasatan dalam kes ini, dia tidak mengetahui jumlah wang yang diterima oleh isterinya sebagai hadiah.
Dia hanya mengetahuinya pada hari kemudian yang Ramzidah menerima sejumlah $7.5 juta daripada seorang warga Malaysia dan juga daripada arwah abangnya, dan tidak pernah tahu di mana isterinya menyimpan wang itu.
Ramzidah hanya memberitahunya bahawa mereka mempunyai wang untuk dibelanjakan apabila mereka pergi membeli-belah atau membeli kereta.
Haji Nabil mengatakan yang dia tidak tahu berapa banyak wang yang mereka belanjakan sepanjang tahun 2002 hingga 2018 sehingga seorang pegawai Biro Mencegah Rasuah memberikan keterangan bukti analisis ke atas pendapatan dan perbelanjaan mereka.
Haji Nabil mengatakan yang dia bukan seorang yang mengawal wang dalam akaun bank bersama miliknya dan Ramzidah, yang mana QC Jonathan Caplan mengemukakan corak kemasukan wang ke dalam akaun bersama mereka diikuti dengan pemindahan dana besar ke akaun bank Ramzidah di United Kingdom dan juga akaun bersama mereka di Bank A.
Menurut Haji Nabil, isterinya hanya akan memberitahunya bahawa dia ingin membuat pemindahan dana tetapi mereka tidak membincangkan keputusan untuk berbuat demikian.
Sejumlah $150,000 telah dimasukkan ke dalam akaun bersama mereka pada 6 Mac 2013, dan direkodkan sebagai ‘Daripada Ibu Bapa’ dalam penyata bank.
“Wang itu mungkin diberikan oleh ibu bapa Ramzidah kerana saya tidak pernah menanyakan mengenai wang yang disimpan di dalam akaun tetapi ada masanya Ramzidah akan memberitahu saya mengenainya,” kata Haji Nabil semasa pemeriksaan balas.
QC Jonathan Caplan terus menanyakan mengenai jumlah besar wang lagi yang dimasukkan ke dalam akaun bersama kedua-dua tertuduh.
Menurut Haji Nabil, kebanyakan simpanan wang tunai dibuat oleh Ramzidah, dan wang itu adalah daripada wang simpanan yang diterima daripada warga Malaysia tersebut.
Bagaimanapun, antara November 2011 dan Disember 2016, sejumlah $670,000 telah dimasukkan ke dalam akaun bersama, yang didakwa oleh Haji Nabil yang wang itu kemungkinan dimasukkan oleh Ramzidah yang diterima daripada ibu bapa dan ahli keluarganya.
Haji Nabil bagaimanapun tidak dapat menjawab soalan sama ada dia telah menanyakan isterinya mengenai dari mana sumber wang tersebut sebaliknya hanya menjawab yang bukan dia yang membuat simpanan itu.
Rekod penyata bank menunjukkan bahawa antara Julai 2013 dan Mei 2015, hampir $2 juta telah dimasukkan ke dalam akaun bersama kedua-dua tertuduh, dan sumber dana ini adalah daripada penjualan harta atau tanah.
Haji Nabil bersetuju yang dia akan mengetahuinya jika harta itu dijual Ramzidah tetapi tidak dapat mengingati mana-mana jualan yang dibuat mereka.
QC Jonathan Caplan mencadangkan bahawa wang itu adalah daripada pengeluaran yang dibuat oleh Ramzidah daripada akaun Penerima Rasmi (OR) di Bank B yang mana Haji Nabil memberitahu yang dia tidak tahu kerana dia tidak pernah mengendalikan kes-kes kebankrapan sebelum ini dan tidak tahu bagaimana akaun OR diuruskan.
Dia juga tidak mengetahui sebanyak mana jumlah wang yang terdapat di dalam akaun OR itu.
Menurut penyata bank, sejumlah wang besar dimasukkan ke dalam akaun bersama tertuduh pada 26 Jun 2015, dan diakui oleh Haji Nabil yang telah pergi ke Mesin Simpanan Tunai (CDM) sekitar tengah malam untuk memasukkan wang.
Menurutnya, wang itu perlu dimasukkan pada waktu itu kerana terdapat had tunai bagi CDM yang akan ditetapkan semula pada tengah malam.
Resit bayaran balik cukai bagi perbelanjaan sebanyak GBP 64,280 di Harrods dan GBP 13,777 di Selfridges, London juga dipersoalkan dalam perbicaraan itu.
Apabila ditanya mengenai sumber dana bagi perbelanjaan itu, Haji Nabil memberitahu yang dia mempercayai wang yang dibelanjakan mereka adalah daripada warga Malaysia itu.
QC Jonathan Caplan kemudian menekankan bahawa kewujudan hadiah wang tunai daripada wanita warga Malaysia itu adalah tidak benar tetapi Haji Nabil menyuarakan tidak setuju.
Pihak pendakwa menekankan bahawa tidak ada sebarang dokumen yang menyokong transaksi menunjukkan $2.5 juta yang diterima daripada arwah abang Ramzidah, yang mana Haji Nabil mengakui kebenaran ini tetapi memberitahu mahkamah yang transaksi wang ini ada dinyatakan di dalam pengisytiharan harta Ramzidah.
Prosiding pemeriksaan balas dihentikan dan akan disambung pada 4 November dan sehingga prosiding seterusnya, Haji Nabil tidak dibenarkan untuk membincangkan kes ini dengan sesiapa kerana dia masih di bawah sumpah mahkamah.