Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wang Yi janji bantu Syria capai keamanan

    BEIJING, 17 NOV – Pegawai diplomatik tertinggi China, Wang Yi hari ini telah menjanjikan sokongan kepada Damsyik untuk “mencapai keamanan pada kadar segera”, ketika rakan sejawatannya dari Syria, Asaad al-Shaibani, melakukan lawatan rasmi pertamanya ke Beijing.

    Lawatan Shaibani ke China berlangsung di tengah usaha yang semakin giat untuk membina semula kehadiran diplomatik Syria selepas bertahun-tahun diasingkan secara antarabangsa di bawah pemerintahan Bashar al-Assad.

    Pihak berkuasa Islam baru Syria telah menghadapi cabaran besar, termasuk membina semula negara itu selepas kejatuhan pemerintahan Assad yang berkuasa lama pada Disember lalu.

    China menyokong Syria dalam “mencapai keamanan pada kadar segera”, menyelaras keselamatan dan pembangunan serta mengintegrasikan Syria ke dalam komuniti antarabangsa, kata Wang kepada Shaibani, menurut kenyataan dari kementerian luar Beijing, hari ini.

    Beijing juga akan menyokong Syria dalam mencari ‘pelan pembinaan semula negara yang selaras dengan kehendak rakyat’ melalui dialog politik, tambah Wang.

    Wang Yi semasa menghadiri Persidangan Pasca-Menteri ASEAN bersama China di Pusat Konvensyen, Kuala Lumpur pada 10 Julai. – AFP

    “China bersedia bekerjasama dengan komuniti antarabangsa untuk menyumbang kepada usaha Syria mencapai keselamatan dan kestabilan,” katanya.

    Pemimpin baru Syria turut berusaha untuk memutuskan hubungan dengan masa lalu yang penuh dengan keganasan, sejak beliau mengambil alih kuasa dan menampilkan imej yang lebih sederhana di dalam dan luar negara.

    Beijing sejak lama memberikan sokongan diplomatik kepada Damsyik, terutamanya di Majlis Keselamatan PBB, di mana China adalah anggota tetap bagi badan tersebut.

    Di samping itu, Assad juga pernah bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping, pada malam sebelum majlis perasmian Sukan Asia 2023, yang dihadiri Assad sebagai sebahagian lawatan pertamanya ke China sejak 2004.

    Semasa perbincangan itu, Xi mengumumkan mengenai “perkongsian strategik” dengan Syria dan memuji hubungan antara kedua-dua negara yang telah “menahan ujian perubahan antarabangsa”. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda