BEIJING, 27 NOV – Diplomat tertinggi China Wang Yi akan melawat New York (NY) minggu ini untuk mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai konflik Israel-Hamas, kata kementerian luar Beijing hari ini.
“Memandangkan ia memegang jawatan presiden giliran Majlis Keselamatan PBB bulan ini, China akan mengadakan mesyuarat peringkat tinggi mengenai isu Palestin-Israel pada 29 November,” kata jurucakap Wang Wenbin.
Wang Yi akan menjadi pengerusi dalam mesyuarat itu, tambahnya.
Pejuang Hamas merentasi sempadan pada 7 Oktober, membunuh 1,200 orang, kebanyakannya orang awam dan mengambil kira-kira 240 tebusan, menurut pegawai Israel.
Sebagai tindak balas, Israel melancarkan kempen ketenteraan untuk memusnahkan Hamas, membunuh hampir 15,000 orang, kebanyakannya orang awam dan termasuk ribuan kanak-kanak, menurut kerajaan Hamas di Gaza.
China berkata minggu lalu ia mengalu-alukan gencatan senjata antara Israel-Hamas, yang bermula Jumaat lalu dan menyebabkan puluhan tebusan dibebaskan dan lebih 100 tahanan Palestin juga dibebaskan.
Perjanjian itu berakhir dalam masa 24 jam hari ini.
Beijing berharap rundingan PBB minggu ini akan mencapai ‘gencatan senjata dan menamatkan pertempuran’ dan membuat ‘sumbangan untuk mengurangkan krisis kemanusiaan di Gaza’, kata Wang Wenbin.
China bersimpati kepada perjuangan Palestin dan menyokong penyelesaian dua negara untuk konflik Israel-Palestin.
Presiden China Xi Jinping telah menggesa diadakan ‘persidangan keamanan antarabangsa’ untuk menyelesaikan pertempuran itu. – AFP