Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Mahkota Crystal Sdn Bhd telah merasmikan koleksi wangian edisi terhad terbaharunya yang dikenali sebagai Mahkota Oudh pada acara pra tonton yang diadakan di Mahkota Crystal’s Gallery & Glass Blowing Studio, Lambak Kanan, kelmarin.
Kerjasama antara Mahkota Crystal dan Golden Aswad Aroma Enterprise selaku syarikat yang terkemuka di Brunei berkenaan diinspirasikan daripada wangian oriental dengan inti pati eksotik gaharu (Oudh).
Hadir melancarkan koleksi wangian terhad berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Juga hadir pada majlis berkenaan ialah duta-duta besar luar negara ke Negara Brunei Darussalam, pegawai-pegawai kanan kerajaan, perwakilan daripada pelbagai sektor, syarikat dan para tetamu undangan lainnya.
Sesuai sebagai wangian mewah dan premium, botolnya mengetengahkan reka bentuk keris pada penutupnya dengan warna hitam dan biru serta ukiran dedaun emas pada kemasan botolnya yang menambah lagi kemewahannya. Produk koleksi eksklusif berkenaan hanya terhad kepada 100 botol sahaja yang mana setiap satu dihasilkan dan dibuat sendiri dengan tangan.
