Friday, January 3, 2025
33.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wani Syaz kecil hati dibandingkan dengan Wany Hasrita

    Penyanyi Wani Syaz mengakui ada ketika dia berasa kecil hati apabila peminat sering membandingkan perjalanan kerjayanya dengan Wany Hasrita.

    Walaupun kerjaya seninya bermula lebih awal, Wani atau nama sebenarnya Nursyazwani Selamat, 25, akur jika rakan yang berada di bawah satu pengurusan itu lebih menyerlah.

    “Memanglah ada sedikit rasa kecil hati apabila orang membandingkan perjalanan kerjaya saya dengan Wany dan itu membuatkan saya sentiasa berfikir untuk keluar dengan lagu terbaik supaya peminat boleh nampak diri saya.

    “Jika orang terus nak bandingkan kami berdua, saya tidak boleh berbuat apa. Kami berbeza dan dia ada cara nyanyian tersendiri.

    Mungkin tuah saya belum sampai lagi untuk lebih dikenali,” katanya kepada mStar.

    Wani tidak mahu dibandingkan dengan rakannya Wany Hasrita. – Agensi

    Bagaimanapun, kata Wani kemunculan lagu duet bersama membuatkan peminat mula sedar perbezaan antara mereka.

    Wani dan Wany (Hasrita) pernah muncul dengan lagu duet berjudul Sinar Terindah yang dilancarkan pada tahun 2019 dan terbaharu menerusi lagu Sang Purnama.

    Selain itu, penyanyi lagu Pendusta Cinta yang dulu hanya dikenali sebagai Wani menukar nama pentasnya kepada Wani Syaz pada 2018 juga membantu dirinya dikenali.

    “Selepas rebrand semula nama sendiri, barulah orang mula nampak dan kenal siapa saya.

    “Menerusi lagu duet juga, peminat dapat membezakan antara kami berdua. Bagaimanapun sehingga hari ini masih ada yang keliru lagi,” ujarnya.

    Bercerita tentang perjalanan kerjaya seni, Wani sedar tidak selamanya dia akan bertahan dalam bidang ini.

    Justeru itu, dia kini lebih memberi fokus kepada perniagaan restoran miliknya di Batu Pahat, Johor.

    “Saya tahu kerjaya nyanyian ini tidak akan bertahan selamanya. Disebabkan itu saya lebih fokus kepada perniagaan demi masa depan sendiri.

    “Saya juga tidak tinggal di Kuala Lumpur kerana di sini tidak ada matlamat yang tetap.

    Tawaran menyanyi juga hanya ada sesekali sahaja.

    “Bagaimanapun saya tidak mahu terus berhenti menyanyi. Mungkin akan tampil dengan satu lagu baharu setahun,” jelasnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda