Wanita 23 tahun korban termuda

PUTRAJAYA, 9 APRIL – Seorang wanita warganegara Malaysia berusia 23 tahun menjadi korban termuda COVID-19 di Malaysia setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia merupakan kes kematian ke-67 (kes ke-2864) dengan mangsa mempunyai latar belakang penyakit tiroid.

“Pesakit mempunyai penyakit tiroid dan lambat ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Seperti yang saya katakan bagi kebanyakan kes, 88 peratus datang (ke hospital) ketika dalam kategori satu dan dua… tetapi pesakit ini dalam kategori empat,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, wanita itu mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif COVID-19 (kes ke-2469 dan ke-2470) dan merupakan kes generasi kelima kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak walaupun beliau bukan peserta persidangan gereja itu. – Bernama