JAKARTA, INDONESIA, 31 MAC – Seorang wanita telah memasuki Ibu Pejabat Polis Kebangsaan Indonesia di Jakarta dan mengacukan senjata kepada beberapa pegawai sebelum ditembak mati oleh polis, dalam siri terbaharu yang disyaki serangan militan.
Pihak berkuasa sebelumnya melaksanakan tindakan keras pencegahan pengganasan dan dalam keadaan berwaspada bagi kemungkinan serangan ke atas polis dan balai ibadat susulan pengeboman berani mati di gereja Roman Catholic di pulau Sulawesi yang mencederakan kira-kira 20 orang.
Video televisyen hari ini menunjukkan seorang wanita tidak dikenali memakai jubah hitam dan tudung biru berjalan dekat lot parkir di ibu pejabat polis menuju ke bangunan pejabat ketua polis.
Dia mengacukan senjata kepada beberapa pegawai polis sebelum ditembak mati oleh pegawai lainnya.
Anggota skuad bom mendekati jasadnya yang terbujur kaku di sisi senjata dalam cuaca hujan bagi memastikan tidak ada alat berbahaya di kawasan itu sebelum mayatnya dipindahkan.
Tidak ada kenyataan daripada polis mengenai insiden tersebut. – AP
