KABUL, 29 MEI – Berpuluh-puluh wanita Afghanistan melaungkan ‘roti, pekerjaan, kebebasan’ dalam bantahan di ibu negara hari ini bagi menentang sekatan keras Taliban terhadap hak wanita.
Sejak kembali berkuasa pada Ogos tahun lalu, Taliban menarik semula kebebasan wa-nita semasa campur tangan Amerika Syarikat di Afghanistan selama dua dekad.
“Pendidikan adalah hak kami! Kami menggesa sekolah dibuka semula!” laung para penunjuk perasaan, yang kebanyakan mereka memakai purdah ketika berhimpun di hadapan kementerian pendidikan.
Para penunjuk perasaan berarak beberapa ratus meter sebelum menamatkan perhimpunan ketika pihak berkuasa mengerahkan pejuang Taliban, menurut laporan wartawan AFP.
“Kami ingin membacakan deklarasi namun ia tidak dibenarkan oleh Taliban,” kata salah seorang pembantah, Zholia Parsi.

“Mereka merampas telefon bimbit sebahagian wanita dan menghalang mereka daripada mengambil gambar atau video perarakan kami.”
Selepas merampas semula kuasa, Taliban berjanji untuk melonggarkan pemerintahannya berbanding pertama kali berkuasa iaitu pada 1996 hingga 2001.
Namun, kebanyakan sekatan kembali dilaksanakan.
Puluhan ribu pelajar perempuan dihalang daripada memasuki sekolah menengah, sementara wanita dilarang daripada kembali bekerja di pejabat-pejabat kerajaan.
Selain itu, golongan wanita juga tidak boleh membuat perjalanan bersendirian dan hanya boleh mengunjungi taman-taman awam di ibu kota pada hari tertentu.
Bulan ini, pemimpin agung Iran dan ketua Taliban, Hibatullah Akhundzada berkata golongan wanita sepatutnya berada di rumah.
Golongan wanita juga diarahkan untuk menutup diri mereka sepenuhnya, termasuk muka, sekiranya mereka ingin keluar rumah.
Perintah tersebut, yang mencetuskan kemarahan antarabangsa, pertama kali dilaksanakan semasa pemerintahan pertama Taliban, apabila mereka mewajibkan pemakaian burqa ke atas wanita. – AFP