HERAT – Sekumpulan wanita muda Afghanistan yang berada di kawasan konservatif di barat Herat telah cuba untuk menentang dan menghentikan halangan tradisi di negara mereka yang pernah bergolak dengan peperangan untuk menjadi pengekod wanita pertama yang mana sering didominasi oleh kaum lelaki khususnya dalam bidang teknologi.
Permainan yang mereka cipta berkaitan dengan kod bertujuan untuk memberikan inspirasi kepada pusat latihan komputer di ibu kota Herat, yang pernah menyaksikan kemerosotan negara Afghanistan sekali gus membanteras ladang-ladang candu yang pernah diperintah oleh gerakan tentera Taliban.
Bagi Khatera Mohammadi yang berusia 20 tahun, salah seorang pelajar di pusat berkenaan, ia bukan sekadar satu permainan, ‘Berjuang menentang Candu’ berlatar belakangkan kisah pengalaman abangnya beberapa tahun yang lalu sebagai seorang penterjemah untuk tentera Amerika Syarikat di kawasan Helmand dan kisah-kisah tentangnya diceritakan kepada Khatera.
“Setiap kali, dia balik ke rumah, abang saya akan bercerita kepada kami tentang ladang candu, letupan lombong yang dahsyat, melawan peniaga haram yang membawa candu dan juga dadah,” Khatera Mohammadi bercerita kepada wartawan Associated Press.
Dia bersama dengan rakan-rakan di pusat tersebut berfikir bahawa jika mereka mencipta satu permainan, ia akan berpotensi untuk meningkatkan kesedaran terutama belia-belia muda.
Ia bukanlah seperti menjatuhkan bom dari kapal terbang atau pertempuran di medan peperangan akan tetapi ia merupakan cara untuk memerangi dadah melalui permainan komputer.
Proses pembersihan
Dalam permainan tersebut, lima orang pejuang yang terdiri daripada tentera Afghanistan berjuang di kawasan Helmand untuk membersihkan kawasan itu daripada dadah.
Tentera itu berdepan dengan pelbagai halangan dalam proses pembersihan itu, di mana para musuh bersembunyi di kawasan ladang jagung, kawasan lombong, pengedar dadah dan makmal heroin tersembunyi.
Afghanistan merupakan negara yang tertinggi dalam pertanian popi, di mana candu dan juga heroin dihasilkan.
Negara tersebut telah menghasilkan lebih banyak candu berbanding di negara-negara lain, menurut perangkaan yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Di Selatan Helmand dan Kandahar merupakan kawasan yang dipenuhi dengan ladang popi dan majoriti di mana penghasilan dua tanaman itu dihasilkan, sementara Herat terletak di kawasan laluan pengedaran ke negara-negara jiran seperti Iran dan banyak lagi.
Gerakan Taliban yang mana telah melancarkan peperangan menentang pihak kerajaan Afghanistan semenjak tahun 2001 merupakan gerakan yang terlibat dalam penanaman popi dan terus meningkat untuk beberapa tahun serta memutuskan usaha pihak kerajaan dalam menentang jenayah yang sukar untuk dibasmi itu.
Khateja berkata bahawa dia dan rakan-rakannya telah menyelesaikan permainan itu selama satu bulan dan abangnya merupakan individu pertama yang dapat menyaksikan permainan itu.
Khateja tidak mahu menyiarkan nama abangnya itu kerana khuatir akan keselamatan dan keluarganya di sebabkan dia masih lagi bekerja dengan tentera-tentera Amerika Syarikat.
“Impian kami, pada satu hari nanti popi akan dapat diganti dengan safron crocus, disebabkan itu, kami memasukkan safron dalam permainan ini dan pihak tentera terus memberikan dorongan kepada petani popi tempatan untuk menanam lebih banyak safron berbanding popi. Safron lebih mahal dan sangat bermanfaat untuk negara,” tambah Khateja lagi kepada media.
Pelajar wanita dalam sekolah program, kod, inspirasi atau CTI itu merupakan pelajar didikan Fereshtech Forough, yang dilahirkan di kem pelarian Afghan dan telah kembali semula ke Herat selepas sahaja kejatuhan gerakan tentera Taliban pada tahun 2001.
Memperkasa hak wanita
Bekas profesor Universiti Herat sekarang telah menetap di Amerika Syarikat dan mencari untuk memecahkan halangan gender serta memperkasa kuasa wanita untuk terus belajar tentang kod sebagai salah satu cara untuk merubah kehidupan mereka.
Rumah-rumah pusat latihan itu mempunyai sekitar 80 orang pelajar perempuan termasuk pelajar sekolah dan universiti.
Mereka belajar untuk mencipta laman sesawang mereka sendiri, aplikasi telefon bimbit, permainan video dan beberapa projek pembangunan laman sesawang yang lain.
“Ia tidak mudah bagi seorang perempuan untuk mencari satu pekerjaan dan bekerja di luar rumah di Afghanistan,” kata Hasib Rassa, pengurus projek CTI.
“Sekarang, dengan hanya satu laptop di rumah, dia boleh bekerja secara Online dan beroleh pendapatan serta membantu keluarganya.” “Perancangan adalah besar untuk mempunyai lebih banyak sekolah sebegini di seluruh Afghanistan,” tambahnya lagi kepada media.
Sebagai salah seorang belia muda Afghanistan yang semakin berminat dalam penggunaan media sosial, Frahnaz Osmani, 20 tahun, seorang pelajar rekaan grafik di CTI merancang untuk memperkembangkan karakter pelekat wanita Afghanistan.
Pelekat itu akan mempamerkan seorang kanak-kanak wanita yang memakai pakaian tradisional Afghanistan berwarna-warni, baju merah dan tudung hijau serta satu mesej dalam Bahasa Dari, iaitu satu daripada dua bahasa di Afghanistan. – AP