KABUL, 25 JUN – Pemimpin tertinggi Afghanistan hari ini berkata bahawa, wanita negara itu diselamatkan daripada ‘penindasan tradisional’ dengan menerima pakai tadbir urus Islam dan status mereka sebagai manusia yang bebas dan bermaruah dipulihkan.
Dalam satu kenyataan yang menandakan cuti Aidiladha minggu ini, Hibatullah Akhundzada yang jarang muncul di khalayak ramai dan memerintah melalui dekri dari tempat kelahiran Taliban di Kandahar mengatakan langkah-langkah telah diambil bagi memberikan wanita kehidupan yang selesa dan makmur sesuai mengikut Syariah Islam”.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kebimbangan mendalam minggu lalu bahawa wanita di Afghanistan telah dikecualikan dari hak mereka di bawah kerajaan pemerintahan Taliban dan memberi amaran tentang aparteid jantina yang sistematik.
Sejak kembali berkuasa pada Ogos 2021, pihak berkuasa Taliban telah menghalang kanak-kanak perempuan dan wanita daripada menghadiri sekolah menengah atau universiti, melarang mereka dari taman, gim dan tempat mandi awam dan mengarahkan mereka untuk bertudung apabila meninggalkan rumah.
Mereka juga telah meng-halang wanita daripada bekerja untuk PBB atau NGO, manakala kebanyakan kakitangan kerajaan wanita telah diberhentikan daripada pekerjaan mereka atau dibayar untuk tinggal di rumah.
Bagaimanapun, Akhun-dzada berkata “langkah yang diperlukan telah diambil untuk kebaikan wanita sebagai separuh daripada masyarakat”.
“Semua institusi telah diwajibkan untuk membantu wanita dalam jaminan perkahwinan, harta pusaka dan hak-hak lain,” kenyataannya berbunyi. – AFP