JEDDAH – Seorang pelukis Arab Saudi telah mencipta lukisan kopi terbesar di dunia, menjadi wanita pertama dari negara itu yang mencipta rekod terbaharu persendirian dalam Guinness World Records yang diumumkan baru-baru ini.
Ohud Abdullah Almalki menggunakan kopi yang telah tamat tempohnya untuk melukis gambar pemimpin terkenal dari kerajaan negara itu dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berdekatan dengan sebesar 220 meter persegi (2,370 kaki persegi).
“Saya memerlukan 45 hari melakukan kerja ini berterusan untuk diselesaikan, di bawah pengawasan dua saksi, rakaman video dan rakaman dron,” kata Almalki, menurut kenyataan Guinness World Records.
Karya seni itu, berjudul ’Naseej 1’ bermaksud ‘Bersatu Bersama’ dicipta di kota Jeddah, Arab Saudi di atas kanvas dengan tujuh kain yang bersambung.
Ia menampilkan bapa pengasas kerajaan Arab Saudi dan UAE iaitu Raja Abdul Aziz bin Saud dan Sheikh Zayed bin Sultan Al-Nahyan.
Di bawahnya terdapat sekumpulan potret pemimpin lain yang lebih kecil dari dua negara Teluk Arab itu, sementara di tepi-tepi lukisan digayakan dengan hiasan tradisional Badui ‘Al-Sadu’.
“Tujuan saya adalah untuk mengingatkan dunia tentang sejarah yang berabad-abad lamanya antara kedua-dua negara,” kata Almalki.
Menurut kenyataan itu lagi, pelukis itu menggunakan kira-kira 4.5 kilogram butiran kopi yang telah tamat tempohnya untuk menyelesaikan lukisannya. Almalki menyatakan harapannya bahawa pencapaiannya akan menyumbang untuk memperkasakan keupayaan wanita di Arab Saudi. Ini merupakan pertama kali seorang wanita Arab Saudi mencapai rekod sendiri, kata Guinness World Records, walaupun yang lain telah mengambil bahagian dalam percubaan sebelumnya.
Pada tahun 2015, 8,264 wanita berkumpul di Riyadh untuk membuat ‘riben kesedaran manusia’ terbesar, untuk meningkatkan kesedaran mengenai barah payudara. – AFP