Sunday, April 13, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita Australia lahirkan anak damit milik orang lain

    WELLINGTON, 11 APRIL — Seorang wanita di Australia tanpa disedari telah melahirkan anak damit milik orang lain selepas dia menerima embrio pesakit lain dari klinik ‘persenyawaan in vitro’ (in vitro fertilization atau IVF), yang digunakannya akibat ‘kesilapan manusia’, menurut kenyataan klinik tersebut.

    Kesilapan itu ditemui pada bulan Februari apabila klinik di bandar Brisbane mendapati terdapat lebihan embrio dalam simpanan milik ibu yang melahirkan, menurut penyedia perkhidmatan, Monash IVF, dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Jurucakap klinik berkata kakitangan telah menemui bahawa embrio milik pesakit lain, telah tersilap dinyahbeku dan dimasukkan ke dalam rahim wanita tersebut.

    Media Australia melaporkan bahawa anak damit berkenaan dilahirkan pada tahun 2024. Monash IVF tidak mengesahkan usia anak damit itu.

    Syarikat tersebut, yang merupakan sebuah perkhidmatan IVF terbesar di Australia, menyatakan siasatan awal tidak menemui kesilapan lain seumpamanya. Dalam kenyataannya, syarikat itu tidak mendedahkan identiti pesakit yang terlibat atau butiran berkaitan hak penjagaan anak damit tersebut.

    Pemandangan luar Klinik Monash IVF di Brisbane, Australia, pada 11 April. – AP

    “Kesemua kami di Monash IVF amat terkilan dan kami memohon maaf kepada semua yang terlibat,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Michael Knaap. “Kami akan terus menyokong pesakit-pesakit kami dalam saat yang amat menyedihkan ini.”

    Kesilapan tersebut berlaku walaupun protokol keselamatan makmal yang ketat telah diterapkan, menurut kenyataan itu lagi.

    Syarikat itu menyatakan bahawa insiden tersebut telah dilaporkan kepada pihak pengawal selia yang berkaitan di negeri Queensland.

    Monash IVF ditubuhkan pada tahun 1971 dan kini beroperasi di puluhan lokasi di seluruh Australia.

    Tahun lalu, syarikat itu menyelesaikan satu tuntutan mahkamah tindakan beramai-ramai daripada lebih 700 pesakit, tanpa mengakui sebarang liabiliti, berikutan dakwaan bahawa kliniknya telah memusnahkan embrio yang berpotensi untuk hidup.

    Klinik tersebut membayar pampasan sebanyak 56 juta dolar Australia (RM173 juta).

    Kes pertukaran embrio secara tidak sengaja adalah sangat jarang berlaku, namun pernah dilaporkan sebelum ini di Amerika Syarikat (AS), Britain, Israel dan Eropah. Pada Februari lalu, seorang wanita di negeri Georgia, AS, memfailkan saman terhadap sebuah klinik kesuburan, selepas dia melahirkan anak damit milik orang lain. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda