Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Seorang pekerja pusat penjagaan kanak-kanak berusia 18 tahun berdepan hukuman denda dan penjara kerana mencederakan seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun semasa dia membersihkannya.
Defendan, seorang wanita tempatan yang identitinya tidak didedahkan untuk melindungi kanak-kanak itu, mengaku bersalah atas pertuduhan semalam, yang menyatakan bahawa dia telah mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal kepada kanak-kanak itu.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri binti Kiprawi menunjukkan bahawa pada 30 Januari lalu, defendan telah menyebabkan kecederaan parah pada bahagian sulit mangsa semasa membersihkannya di bilik air di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak, yang menyebabkan mangsa mengalami pendarahan.
Hakim Mahkamah Perantaraan Hajah Hazarena binti POKSJDP Haji Abu Hurairah akan menjatuhkan hukuman pada 31 Ogos ini, dan memerintahkan defendan untuk direman sementara.
Pertuduhan di bawah Seksyen 28 (1) Akta Kanak-kanak dan Orang Muda, Bab 219, menyatakan bahawa mana-mana orang yang, sebagai orang yang menjaga kanak-kanak atau orang muda, mendera, menyerang, mengabaikan, meninggalkan atau mendedahkan kanak-kanak itu dalam cara yang mungkin menyebabkan dia mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkan dia didera, diserang, diabaikan, ditinggalkan atau didedahkan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi $20,000, penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun berserta (atau tanpa) sebat tidak melebihi 10 kali sebatan, atau kedua-duanya.


