CANBERRA, AUSTRALIA, 18 JULAI – Sekumpulan dingo menyerang seorang wanita yang sedang berjoging dalam pertembungan terbaharu antara anjing asli dan manusia di sebuah pulau popular Australia, mencetuskan amaran baharu kepada pelawat yang bersiar-siar di luar.
Wanita berusia 24 tahun itu diserang tiga atau empat dingo semalam ketika dia berjoging di pantai di K’gari, negeri Queensland, pulau pasir terbesar di dunia yang dahulunya dikenali sebagai Pulau Fraser, kata pegawai.
Taman negara yang tersenarai dalam Warisan Dunia itu adalah tempat tinggal kepada beberapa dingo paling asli di Australia, yang juga dikenali dengan nama aslinya wongari, kerana anjing peliharaan telah lama diharamkan.
Dua orang yang lalu lalang menyelamatkan wanita itu daripada dingo selepas haiwan itu mengejarnya ke dalam ombak, menggunakan teknik memburu yang sama yang digunakan oleh anjing itu untuk mangsa yang lebih besar seperti walabi, kata renjer hidupan liar, Behrendorff.
Mangsa telah diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Hervey Bay di tanah besar dalam keadaan stabil dan mengalami beberapa luka gigitan pada anggota badan dan badannya, kata Perkhidmatan Ambulans Queensland.
Pengunjung ke pulau itu diberi amaran supaya berhati-hati dengan dingo. Pelancong dinasihatkan supaya tidak berlari atau berjoging di luar kawasan berpagar, memastikan kanak-kanak berada dalam jangkauan tangan, berjalan dengan tongkat dan mengelak menyediakan makanan kepada dingo. Dingo kebanyakannya mendekati manusia untuk mendapatkan makanan. – AP


