BAGI sesetengah wanita, usia 30 tahun boleh dikatakan sebagai waktu puncak, punya karier yang stabil serta keluarga sendiri. Kehidupan pun sudah cukup selesa.
Tapi, jangan terus terleka kerana apabila anda berada dalam usia 30an, kesihatan wanita tidak akan sama seperti ketika di usia remaja hingga hujung 20an.
Potongan badan pun banyak sudah ‘lari’, tidak seperti masa zaman dara dahulu, tambahan yang mempunyai anak.
Kenapa jadi begini?
Biasanya apabila masuk usia 30 hingga 39 tahun, kesihatan wanita mula menjadi terabai. Mereka lebih cenderung kepada kerjaya, rumah tangga dan anak-anak yang semakin membesar.
Secara saintifiknya, kesihatan wanita juga akan merosot kerana fungsi badan kita sudah menjadi kurang efisien.
Maka, kita perlulah sentiasa peka dengan perubahan ini. Samalah macam kereta, kena servis lebih kerap seiring dengan pertambahan usia.
Untuk kekalkan kesihatan wanita, jangan abaikan lima perkara berikut!
1. Otot badan
Kalau hendak bandingkan otot-otot badan di usia 30an memanglah tidak sehebat seperti zaman remaja dahulu. Semua aktiviti hendak dicuba. Tapi sekarang, berjalan jauh sikit pun sudah sesak nafas.
Lagi satu, cepat benar terasa letih apabila buat kerja-kerja berlebihan.
Alternatif: Latih diri untuk lakukan regangan badan setiap hari.
Bersenam adalah cara yang terbaik untuk menguatkan stamina.
2. Pemakanan
Kalau dahulu, makanlah apa sahaja biarpun lewat malam sehingga 2-3 pagi, tidak gemuk pun. Tapi sekarang, makan yang sudah dikawal masih juga badan macam dipam-pam! Perlu ingat, semakin usia meningkat, kadar metabolisme pula akan menurun.
Ia antara sebab mengapa badan mudah menjadi ‘naik.’
Alternatif: Kurangkan makan makanan berproses seperti makanan dalam tin. Ambil makanan yang kaya dengan Omega 3 seperti ikan dan kekacang.
Sertakan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam pemakanan seharian.
3. Kesuburan
Usia antara faktor utama penyumbang dalam kesuburan kaum wanita. Semakin naik usia, semakin susah untuk ‘melekat’. Itu yang biasa kita dengar sejak zaman dahulu lagi.
Alternatif: Antara faktor kesuburan yang boleh dikawal ialah kesihatan tubuh badan dan pemakanan yang seimbang serta berkhasiat. Apapun, bila bercakap tentang anak, sentiasalah percaya dengan ketentuanNya.
4. Keperluan berjumpa doktor
Selagi tak ada sakit yang berat, memang tiadalah keinginan untuk berjumpa doktor. Paling-paling pun makan ubat sahaja.
Selalunya, hanya ke klinik untuk rawatan anak-anak yang sakit.
Alternatif: Setiap dua tahun, buat saringan kesihatan untuk pemeriksaan darah tinggi dan kolesterol.
Ia penting kerana jika dapat dikesan awal, boleh menyelamatkan anda daripada penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan jantung.
5. Kulit badan
Gabungan stres, diet yang tidak seimbang dan hormon boleh menyebabkan kulit kurang berseri dan nampak kusam.
Penggunaan pencuci muka dan losen badan yang tidak sesuai dengan usia juga menyebabkan kulit jadi kering.
Alternatif: Guna produk penjagaan diri yang sesuai dengan umur kerana ia membantu mengekalkan minyak semula jadi dalam badan.
Amalkan juga petua-petua yang menggunakan bahan semula jadi sekali-sekala. – Agensi