Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita berusia 90an diselamatkan 5 hari selepas gempa bumi

    WAJIMA, 7 JAN – Seorang wanita berusia 90an berjaya diselamatkan dari sebuah rumah runtuh di barat Jepun lewat Sabtu, 124 jam selepas gempa bumi besar melanda wilayah itu, mengorbankan sekurang-kurangnya 126 orang, menumbangkan bangunan dan menyebabkan tanah runtuh.

    Wanita di bandar Suzu, Prefektur Ishikawa, terselamat selama lebih lima hari gempa bumi berukuran 7.6 magnitud melanda kawasan itu Isnin lalu.

    Rakaman berita yang disiarkan menunjukkan pekerja penyelamat bertopi keledar menutup pemandangan kawasan itu dengan plastik biru dan wanita itu tidak kelihatan.

    Peluang untuk hidup berkurangan selepas 72 jam pertama. Beberapa penyelamatan dramatik lain telah dilaporkan sejak beberapa hari lalu ketika askar, bomba dan lain-lain menyertai usaha yang meluas.

    Antara 126 yang maut ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang mengalami kecederaan apabila air mendidih tertumpah ke atasnya semasa gempa bumi berukuran 7.6 magnitud Isnin lalu. Keadaannya tiba-tiba bertambah buruk dan meninggal dunia pada hari Jumaat, menurut wilayah Ishikawa, wilayah yang paling teruk dilanda.

    Gempa susulan mengancam untuk menimbus lebih banyak rumah dan menyekat jalan yang penting untuk penghantaran bantuan. Pegawai memberi amaran bahawa jalan yang sudah retak boleh runtuh sepenuhnya. Risiko itu semakin meningkat dengan hujan dan salji dijangka semalaman dan hari ini.

    Bandar Wajima mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 69, diikuti Suzu dengan 38. Lebih 500 orang cedera, sekurang-kurangnya 27 daripadanya parah.

    Gegaran menyebabkan bumbung menyembah bumi dan segala-galanya musnah. Jalan raya bengkok seperti getah. Kebakaran menyebabkan kawasan kejiranan di Wajima menjadi abu.

    Lebih daripada 200 orang masih tidak dapat dikesan, walaupun jumlahnya berubah-ubah. Sebelas orang dilaporkan terperangkap di bawah dua rumah yang runtuh di Anamizu. – AP

    Pegawai polis masuk ke dalam bangunan di premis sebuah kuil untuk mencari mangsa di Wajima di semenanjung Noto, menghadap Laut Jepun, barat laut Tokyo, kelmarin, berikutan gempa bumi maut pada Isnin lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda