SYDNEY, 6 JULAI – Seorang wanita telah diterbangkan ke hospital selepas digigit seekor singa di sebuah zoo di negeri Queensland, Australia, lapor Xinhua.
Perkhidmatan kecemasan dipanggil ke Zoo Darling Downs, 110 kilometer ke barat daya Brisbane, sekitar 8:30 pagi, hari ini susulan laporan seorang wanita berusia lingkungan 50an diserang seekor haiwan.
Wanita berkenaan, yang merupakan kakitangan zoo, mengalami kecederaan serius pada lengan dan telah diterbangkan ke hospital di Brisbane dalam keadaan stabil.
Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) melaporkan haiwan yang terlibat dalam kejadian itu ialah seekor singa dan wanita tersebut kehilangan lengan.
Zoo berkenaan dalam satu kenyataan di media sosial pada petang hari ini turut memaklumkan wanita itu sedang memerhati penjaga zoo bekerja di kawasan karnivor apabila haiwan tersebut menggigit lengannya.
Menurut zoo itu, haiwan berkenaan tidak pernah keluar dari kandangnya dan tiada risiko terhadap orang awam.
Zoo itu juga memaklumkan, haiwan berkenaan tidak akan ditidurkan atau dihukum dalam apa-apa cara.
“Polis dan pegawai Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan sedang menyiasat insiden ini dan telah berada di lokasi sepanjang pagi. Zoo sedang bekerjasama dengan mereka untuk mengenal pasti bagaimana kejadian ini berlaku,” menurut kenyataan itu.
Zoo Darling Downs, yang menyambut ulang tahun ke-20 pada Jun, menempatkan harimau, harimau bintang dan singa. – Bernama


