Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Wanita cetus kebakaran ragut 46 jiwa terlepas hukuman mati

    TAIPEI, 5 OGOS – Seorang wanita Taiwan, yang menyebabkan kebakaran terburuk di pulau itu dalam tempoh beberapa dekad kerana membalas dendam terhadap kekasihya, terlepas hukuman mati setelah mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

    Kebakaran berlaku Oktober lalu di bandar selatan Kaohsiung telah meranapkan beberapa buah tingkat blok apartmen 13 tingkat yang usang, mengorbankan 46 orang dan mencederakan 41 yang lain.

    Pihak berkuasa berkata kebakaran bermula apabila defendan, Huang Ke-ke, 51, membiarkan abu kemenyan tidak dipadamkan di atas sebuah sofa sebelum meninggalkan bangunan.

    Huang didakwa atas tuduhan membunuh dan perbuatan membakar dengan sengaja pada Januari, dengan pendakwa raya menuntut hukuman mati.

    Mahkamah daerah Kaohsiung hari ini menyabitkan Huang atas tuduhan membakar dengan sengaja dan pengabaian sehingga menyebabkan kematian, dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

    “Defendan tidak mempunyai motif untuk menyebabkan kerosakan ke atas penduduk lain di bangunan itu…kesalahan membunuh digugurkan kerana dia tidak sengaja” menyebabkan kematian, menurut kenyataan mahkamah.

    Huang mengakui bahawa kemenyan itu digunakan untuk menghalau nyamuk. Tetapi dia memberikan kenyataan yang berubah-ubah mengenai apa yang dilakukannya sebelum meninggalkan rumah, menurut pendakwa raya.

    Pada mulanya, dia mengakui membuang kemenyan itu ke dalam tong sampah, tetapi kemudian memberitahu bahawa dia tidak ingat apa yang dilakukannya.

    Kebakaran itu meningkatkan kebimbangan mengenai kurang standard keselamatan di Taiwan dan mendedahkan keadaan tempat tinggal yang tidak selamat.

    Pendakwa raya berkata mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...