PARIS, 21 OKT – Seorang wanita China telah ditangkap dan didakwa berhubung kecurian emas dari Muzium Sejarah Semula Jadi di Paris, dalam salah satu daripada beberapa kes pecah masuk berprofil tinggi baru-baru ini yang menyasarkan institusi kebudayaan Perancis, menurut seorang pendakwa raya hari ini.
Kecurian itu menurut pengarah muzium pada waktu itu dilakukan oleh ‘kumpulan yang amat profesional’ pada 16 September, sebulan sebelum rompakan berani terhadap barang kemas di muzium terkenal dunia, Louvre, Ahad lalu.
Seorang wanita China berusia 24 tahun ditangkap di Barcelona pada 30 September berhubung kes pecah masuk Muzium Sejarah Semula Jadi dan kecurian emas bernilai lebih AS$1 juta, kata pendakwa Paris, Laure Beccuau. Suspek diserahkan kepada pihak berkuasa Perancis pada 13 Oktober, didakwa atas tuduhan kecurian dan konspirasi jenayah, serta ditahan sementara pada hari yang sama.
Hasil siasatan menunjukkan dia telah meninggalkan Perancis pada hari kecurian dan sedang bersiap untuk kembali ke China.
Pada masa penangkapannya, dia sedang berusaha untuk menyingkirkan hampir satu kilogram kepingan emas cair, kata pendakwa, tanpa memberikan butiran lanjut.

Kurator Muzium Sejarah Semula Jadi mendapati ketul emas yang dicuri selepas seorang pekerja pembersihan melaporkan ternampak serpihan di tapak.
Barang yang dicuri termasuk ketul emas dari Bolivia yang didermakan pada abad ke-18, dari wilayah Ural Rusia yang dihadiahkan oleh Tsar Nicholas I pada 1833, dan dari California yang berasal dari era kerubut emas.
Satu ketul seberat lima kilogram dari Australia yang ditemui pada 1990 turut dicuri, kata Beccuau. Hampir enam kilogram emas asli dicuri, dengan kerugian dianggarkan bernilai 1.5 juta euro, tambahnya, sambil menekankan nilai sejarah dan saintifik kepingan emas itu ‘tidak ternilai’.
Rakaman pengawasan menunjukkan seorang penceroboh bersendirian memasuki muzium sekitar jam 1 pagi dan meninggalkannya kira-kira jam 4 pagi, menurut Beccuau.
Polis juga masih memburu pencuri yang melarikan barang kemas diraja yang tidak ternilai dari muzium Louvre dalam rompakan terang-terangan pada siang hari Ahad lalu. – AFP

