Friday, November 15, 2024
33.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita cipta rentak hip-hop guna komputer

    DAKAR – Di dalam sebuah bilik darjah di House of Urban Culture, yang terletak di lorong-lorong sempit di Dakar, Senegal, Aminata Thiam menepuk tangannya mengikut rentak yang dihasilkannya di komputernya.

    “Awda hanya perlu mencari loop yang awda inginkan. Potong, gandakan sampel, dan kemudian tambahkan kesannya,” katanya.

    Dia sedang mengajar kelas pembuatan rentak kepada lima orang wanita muda, masing-masing bekerja dengan tekun menghasilkan rentak mereka sendiri di komputer di hadapan mereka.

    Thiam, 31, merupakan seorang pembuat rentak (beatmaker), salah satu daripada beberapa segelintir wanita di Senegal yang menggelarkan diri mereka sebagai pembuat rentak.

    Disiplin mereka adalah seni “membuat rentak, mencipta irama,” kata Thiam.

    Thiam mencipta rentak di dalam sebuah studio di Dakar, Senegal. – AP
    Seorang pelajar mencatat nota pada kelas membuat rentak untuk wanita di Dakar, Senegal. – AP
    Thiam (tengah), memberikan arahan kepada seorang pelajar, Julia Sall semasa kelas membuat rentak untuk wanita di Dakar, Senegal. – AP

    SEJARAH RENTAK

    Dia menelusuri sejarah dari DJ Amerika seperti Afrika Bambaataa dan DJ Kool Herc, yang dianggap sebagai antara pengasas hip-hop, kepada pembuat rentak hari ini.

    DJ tersebut membuat rentak pada tahun 1970an dan 80an dengan menggunakan synthesizer atau dengan mengasingkan rentak tertentu dalam lagu dan memainkannya secara berulang dengan menukar antara dua pemain rekod.

    “Sekarang apabila kita bercakap tentang membuat rentak, kita bercakap tentang melakukannya dengan komputer,” kata Thiam, sambil mengakui bahawa teknologi termasuk kemunculan perisian telah mendemokrasikan seni ini.

    House of Urban Culture menyaksikan kehadiran pelbagai individu yang terlibat dalam dunia hip-hop yang sedang berkembang pesat di Senegal, penyanyi rap, penyair slam, pemain papan selaju dan juga artis grafiti yang karya mereka menghiasi dinding-dinding bangunan tersebut.

    Pusat yang dibuka pada 2018 menganjurkan konsert rap dan festival beatboxing, serta menawarkan latihan percuma dalam segala hal daripada DJ hinggalah fotografi dalam usaha untuk mengubah minat golongan muda dalam hip-hop kepada profesion.

    Nama pentas Thiam adalah Myamy the Ay Girl, gabungan bahasa Inggeris dan Wolof yang bermaksud gadis yang boleh.

    Dia mula tertarik dengan membuat rentak sebagai seorang pelajar sedekad yang lalu di Dakar, tempat seorang pembuat rentak telah memasang studio di universitinya.

    Dia kemudiannya menjalani latihan dengan sebuah program yang dipanggil Akademi Hip Hop, yang kini bekerjasama dengan House of Urban Culture. Kelasnya hanya terbuka kepada wanita, satu keperluan, katanya, jika ingin mencapai sebarang bentuk kesaksamaan dalam bidang itu.

    “Bukan sahaja untuk muzik, tetapi juga untuk kerja audiovisual, untuk filem,” katanya, menekankan bahawa pengetahuan tentang cara membuat muzik menggunakan komputer bukanlah terhad kepada hip-hop sahaja.

    TEKNOLOGI

    Walaupun akses yang meluas kepada komputer telah menjadikan pembuat rentak lebih mudah diakses, pergantungan pada teknologi juga telah mencipta halangan yang menghalang ramai pelajarnya daripada meneruskan kerja mereka selepas kursus itu berakhir.

    “Di dalam satu rumah, awda mungkin mendapati hampir semua lelaki mempunyai komputer, tetapi wanita mungkin hanya mempunyai telefon,” katanya.

    Menurut Laporan Jurang Jantina Mudah Alih Persatuan GSM 2020, wanita di kawasan bandar Senegal mempunyai akses internet yang hampir sama dengan lelaki, tetapi mempunyai autonomi kewangan yang jauh kurang. Hanya 26 peratus wanita yang telah membeli telefon pintar mereka sendiri, berbanding 68 peratus lelaki.

    Djeneba Sylla, 21, merupakan seorang penyanyi yang ingin mengikuti kelas Thiam untuk belajar cara membuat muzik sendiri.

    “Buat masa ini saya tidak mempunyai komputer. Tetapi saya berharap dapat memilikinya menjelang akhir kelas ini,” kata Sylla.

    Thiam telah memulakan kempen untuk mengumpul dana bagi pelajarnya.

    Isu mengenai aksesibiliti menjadi perhatian utama dalam kebanyakan karya yang dilakukan oleh House of Urban Culture di Senegal.

    Amadou Fall Ba, bekas penyelaras pusat itu selama 10 tahun, kini bekerjasama dengan bandar Dakar dalam inisiatif untuk mewujudkan lebih banyak ruang awam bagi golongan muda dengan tujuan untuk memudahkan akses kepada hip-hop.

    Beliau menyatakan bahawa hip-hop datang ke Senegal melalui kelas pertengahan negara itu, “mereka yang mempunyai televisyen, yang boleh menonton saluran swasta, dan apa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS).”

    Akhirnya ia menjadi popular dalam kalangan orang ramai, dan dia mengatakan bahawa kini, 80 peratus daripada bintang dalam latar budaya bandar yang lebih besar di Senegal datang dari kawasan kejiranan kelas pekerja.

    Namun, wanita masih sangat kurang diwakili, katanya.

    “Pemikiran telah berubah sedikit, tetapi kita masih dalam sebuah negara yang konservatif seperti jika seorang wanita muda yang berumur 25 atau 30 tahun yang belum berkahwin sudah pasti berlaku tekanan sosial yang kuat terhadapnya,” jelasnya. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda