Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita Colombia ceburi kerja lombong cari permata zamrud

    MUZO, Colombia – Selama beberapa dekad, wanita seperti Rosalba Canon ditegah untuk memasuki lombong zamrud Colombia: golongan lelaki berkata bahawa mereka membawa nasib malang.

    Canon dan lainnya telah menghabiskan kehidupan mereka sebagai ‘guaqueras’, atau pemburu kekayaan, mengayak mencari batu-batu permata dari kawasan berbatu dan pergunungan yang lembab di utara Colombia.

    “Idea untuk mendapatkan zamrud ini telah membawa saya ke sini,” kata Canon berusia 63 tahun.

    Canon tiba di penghujung tahun 1970-an di bandar Muzo, Andean, yang dikenali sebagai ibu kota zamrud dunia.

    Wanita-wanita yang datang ke sini, beberapa daripada mereka ada yang lari disebabkan kekerasan, tidak dapat bekerja di dalam terowong bersama-sama dengan kaum lelaki kerana praanggapan macho di mana mereka (golongan wanita) membawa nasib malang. Undang-undang di negara ini juga menghalang wanita daripada turun ke kawasan perlombongan.

    Pencari-pencari zamrud mencari permata hijau di sungai Las Animas. – AFP
    Pencari zamrud menunjukkan beberapa batu permata hijau yang terdapat di sungai Las Animas. – AFP
    Ahli geologi menunjukkan zamrud di salah sebuah lombong di perbandaran Muzo – juga dikenali sebagai ‘bandar zamrud dunia’ – di jabatan Colombia Boyaca. – AFP

    “Ia sering diperkatakan di rantau ini di mana zamrud akan bersembunyi apabila mereka (wanita) memasukinya,” kata Maria Luisa Durance, pekerja sosial berusia 39 tahun di Mining Texas Colombia (MTC), sebuah syarikat terkemuka di sektor ini dengan mempunyai 800 pekerja.

    Setiap hari selama lebih dari tiga dekad, Canon telah memakai kasut getahnya dan menyertai berpuluh-puluh pemburu kekayaan lainnya, mencari sisa-sisa perlombongan di sungai Las Animas yang mengalir deras. Daya tarikan global terhadap zamrud telah bermula dari pra-ketamadunan masyarakat Columbia.

    Kapal-kapal dari penaklukan Sepanyol telah mengeksport batu-batu berharga itu sejauh Persia, dan pada abad ke-20, gunung tersebut hampir-hampir hancur disebabkan oleh penggunaan bahan peledak yang digunakan untuk memecahkan dinding-dinding batu.

    Colombia kini menghasilkan kira-kira dua pertiga daripada zamrud dunia, kebanyakannya dari kawasan Muzo, sekitar 150 kilometer di utara ibu bandar Bogota.

    Lombong-lombong moden yang ada pada masa ini kurang menghasilkan ‘waste shale’. Pun begitu, kaum lelaki dan wanita dari semua peringkat umur masih menyodok dan menapisnya, mencari sumber kekayaan daripada bertan-tan sisa perlombongan yang telah dibuang ke sungai itu.

    “Ini adalah satu kegilaan,” jelas Canon, yang telah membesarkan tiga anaknya dengan hasil daripada pekerjaan itu.

    Dari semasa ke semasa, seseorang akan memperolehi tuah mereka, menemui batu hijau bersinar dalam alat penapis mereka, namun bagi sebahagian besarnya, ‘guaqueras’ – sama ada lelaki mahupun wanita – hidup dengan hutang kepada peniaga-peniaga tempatan.

    “Mereka memberikan pinjaman wang kepada kami dan apabila kami menemui batu tersebut mereka akan mengambilnya,” kata Blanca Buitrago. “Saya tidak menemui apa-apa untuk sekian lamanya.”

    Adriana Perez (kiri) sedang melakukan pekerjaannya di lombong zamrud di jabatan Colombia Boyaca. – AFP
    Blanca Biutrago mencari permata hijau di sungai Las Animas. – AFP

    Tetapi kadang-kadang, Buitrago berkata, dia berjaya menemui permata yang berharga sekitar AS$65 dan AS$165, ‘tidak lebih dari itu’.

    Buitrago, ibu kepada lima orang anak berusia 52 tahun, tiba di Muzo untuk mencuba nasibnya selepas dipaksa keluar dari rumahnya oleh salah satu kumpulan berpendapatan tinggi Colombia pada tahun 2006. Pada tahun 2015, golongan wanita akhirnya dibenarkan untuk memasuki lombong apabila Undang-undang seksis – yang menghalang mereka – telah dibatalkan.

    Tetapi buat Canon dan kebanyakan ‘guaqueras’ lainnya, Buitrago kini sudah terlalu tua untuk mendapat manfaat daripada undang-undang dan mendapatkan pekerjaan secara rasmi di pusat perlombongan itu.

    Walau bagaimanapun, Saida Canizales, 40, mampu mendapatkan faedah dari perubahan itu dan dia kini merupakan wanita pertama di antara 18 penyelia keselamatan MTC.

    “Jelas sekali penyertaan wanita dalam kawasan perlombongan itu suatu cabaran…tetapi saya berpendapat bahawa saya telah membawanya maju ke hadapan,” kata Canizales, seorang pakar dalam pengawasan elektronik, yang memperolehi tiga kali ganda daripada pendapatannya iaitu sebanyak AS$600 yang diperolehinya di Bogota.

    Memakai topi keledar hitam, Canizales menuju jauh ke dasar perlombongan untuk mencari batu permata yang diekstrak dari batu. Kemudian – dan jauh ke dalam 140 meter (460 kaki) – seorang pelombong kelihatan menggunakan alat gerudi tukul untuk memecahkan dinding batu sambil Canizales memerhatikannya.

    Serbuk putih kalsit terlihat muncul, dan juga debu hijau – tanda yang ia mempunyai batu permata.

    Pengambilan golongan wanita telah menjadi “dasar yang sangat berjaya,” kata pengerusi MTC, Charles Burgess kepada AFP. Wanita “sangat rajin, jujur ??dan sangat berbangga dengan usaha mereka.”

    “Walaupun ia merupakan sebuah pekerjaan yang tidak sesuai buat mereka kerana pekerjaan itu kadang-kadangnya memerlukan tenaga fizikal yang kuat,” kata bekas diplomat Amerika berusia 62 tahun, yang berkahwin dengan seorang warga Colombia. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda