Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita dialu-alukan jadi pemandu untuk pegawai kanan kerajaan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Kalau diamati, semua pemandu kenderaan di jabatan-jabatan kerajaan yang disediakan oleh pihak kerajaan terdiri daripada kalangan kaum lelaki.

    Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin bertanya adakah rancangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mengambil khidmat pemandu daripada kalangan wanita khusus untuk pegawai-pegawai kanan kerajaan.

    Dalam hal itu, jelasnya, adalah nampak lebih sopan dipandang jika pemandu jabatan-jabatan kerajaan VIP kitani dipilih daripada kalangan pemandu wanita.

    “Perkara ini bertepatan dengan agama, adat resam dan cara orang Brunei. Tidak ada ruang untuk akan timbul desas-desus percakapan orang dan lebih teruk lagi fitnah mengenai close proximity,” ujarnya pada hari ke-12 Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

    Mengulas persoalan berkenaan, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menyambut baik cadangan adanya jawatan pemandu wanita di jabatan-jabatan kerajaan untuk pegawai-pegawai kerajaan kanan.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin memaklumkan bahawa skim iklan bagi jawatan pemandu adalah dibukakan kepada pemohon lelaki dan wanita dengan berpandukan syarat-syarat kelayakan minima bagi mengisikan jawatan berkenaan.

    Antara skop tugas dan tanggungjawab adalah berkebolehan menjaga keselamatan dan kebersihan serta memastikan kenderaan yang dipandu dalam keadaan baik dan selamat dan ketersediaan untuk bertugas pada bila-bila masa jika diperlukan termasuk di luar waktu bekerja yang biasa.

    “Walaupun dalam skim ada menyebutkan keutamaan adalah diberikan kepada calon lelaki namun pengambilan pemandu-pemandu bagi pegawai-pegawai kanan adalah berpandukan kelayakannya, berkesanggupan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab berkenaan serta lulus sesi temu duga tanpa mengira jantina (gender),” jelasnya yang juga turut berharap apa jua pandangan ataupun senario yang dibayangkan oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Isa itu akan dapat mengatasi masalah-masalah khususnya berkaitan dengan syariah dan sebagainya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda