Monday, October 28, 2024
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita didakwa bunuh, biarkan kekasih mati dalam beg pakaian

    ORLANDO, 27 OKT – Seorang wanita di Florida didapati bersalah atas tuduhan membunuh tahap dua oleh juri selepas meninggalkan teman lelakinya mati dalam sebuah beg pakaian di rumah mereka.

    Empat tahun selepas Sarah Boone ditangkap dalam kematian Jorge Torres, juri menjatuhkan keputusan terhadapnya pada petang Jumaat selepas berbincang selama kira-kira 90 minit. Namun, Boone telah mengaku tidak bersalah.

    Boone pada mulanya memberitahu detektif di Pejabat Syerif Orange County bahawa dia dan Torres telah bermain sembunyi-sembunyi pada 23 Februari 2020, di kediaman Winter Park, Florida, ketika mereka berfikir adalah sesuatu yang lucu untuk Torres masuk ke dalam beg pakaian.

    Menurut laporan penahanan, mereka telah minum dan dia memutuskan untuk tidur, memikir teman lelakinya boleh keluar dari beg pakaiannya sendiri.

    Apabila dia bangun keesokan paginya, dia tidak menemui Torres tetapi teringat dia berada di dalam beg pakaian. Dia membuka zip beg pakaian dan mendapati Torres sudah tidak bernyawa.

    Pihak polis Orange County mendakwa Boone selepas menemui rakaman video dalam telefon bimbitnya yang menunjukkan Torres merayu untuk dilepaskan kerana sukar bernafas dan berulang kali memanggil nama Boone.

    Semasa perbicaraan, Boone memberi keterangan bahawa insiden keganasan yang lalu antara dia dan Torres menyebabkan dia berasa terancam dan sesuatu akan berlaku lalu dia bertindak untuk mempertahankan diri dengan menyimpannya di dalam beg pakaian.

    Laporan bedah siasat menyatakan Torres mempunyai luka calar di belakang dan lehernya serta lebam di bahu, tengkorak dan dahi akibat kecederaan tumpul, serta luka berhampiran bibirnya.

    Perbicaraan yang berlangsung selama 10 hari itu ditangguhkan beberapa kali sejak penangkapan Boone disebabkan pertukaran peguam. Boone dijadualkan dijatuhi hukuman pada 2 Disember ini dan berdepan hukuman penjara seumur hidup. – AP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda