Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Seorang wanita didakwa di Mahkamah Perantaraan di sini atas pertuduhan memalsukan dokumen dan menipu.
Abibah binti OKS Haji Tengah bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni. Tertuduh didakwa memalsukan dokumen, yang kononnya ditandatangani bagi pihak Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan di Jabatan Kerja Raya (JKR). Dia juga berdepan tuduhan memalsukan dokumen itu untuk tujuan menipu.
Tertuduh juga didakwa menipu seorang jurujual dengan memperdayakannya dengan mendakwa bahawa JKR ingin membeli sebanyak 4,500 payung pada harga $15,750 untuk majlis rasmi jabatan tersebut. Dia juga dituduh secara tidak jujur menggunakan dokumen palsu. Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada Disember 2013.
Kes akan disebut semula pada 11 Oktober 2017.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Yvonne Lim.