BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Seorang wanita berusia 61 tahun, Wei Fenghua telah dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan menipu seorang warga emas, satu kesalahan di bawah Bab 420 dibaca bersama Bab 34 dari Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22.
Pertuduhan tersebut berkaitan dengan peranannya dalam perbuatan memperdaya kononnya mengadakan upacara keagamaan. Hukuman tersebut dijatuhkan pada 16 Oktober lalu di hadapan Majistret Abdul Azim bin Haji Othman.
Kesalahan itu berlaku pada 26 Ogos di luar sebuah pasar raya di kawasan komersil Bandar Seri Begawan, di mana defendan, bertindak bersama tiga rakan subahat yang belum ditangkap, menghampiri seorang wanita berumur 85 tahun dan memperdayakannya dalam mempercayai bahawa mereka boleh menyembuhkan anak perempuannya secara rohani, yang mengalami masalah kesihatan mental.
Mangsa telah dipujuk untuk membawa barangan berharganya bagi tujuan upacara yang sepatutnya diadakan, namun dalam masa tersebut wang tunai dan barang kemasnya telah ditukar tanpa diketahuinya dengan botol air dan minuman paket.
Kerugian dianggarkan berjumlah $36,000 dalam bentuk wang tunai dan beberapa set barang kemas, yang kesemuanya tidak dapat ditemui.
Siasatan mendedahkan bahawa defendan pertama kali memasuki Negara Brunei Darussalam pada Ogos 2025, iaitu pada masa kesalahan itu dilakukan dan telah meninggalkan negara ini pada hari yang sama. Dia kemudiannya masuk semula ke ke negara ini pada 14 September melalui penerbangan dari Nanning, China, dan ditangkap sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Pihak pendakwa menjelaskan perbuatan itu sebagai penipuan terancang, yang dilakukan bersama rakan subahat yang masih bebas, dengan menekankan mangsa warga emas itu telah menjadi sasaran kerana mudah terperdaya.
Semasa menjatuhkan hukuman, Majistret Abdul Azim menyatakan kesalahan tersebut melibatkan perancangan terlebih dahulu, dan pencegahan amat penting untuk dipertimbangkan bagi melindungi kepentingan orang ramai.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri binti Kiprawi.

