Tuesday, April 1, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita ditemui selamat selepas 30 jam dalam runtuhan

    MANDALAY, MYANMAR, 30 MAC – Seorang wanita berjaya diselamatkan hidup-hidup dari runtuhan bangunan apartmen di Mandalay kelmarin, 30 jam selepas gempa bumi kuat melanda Myanmar, menurut wartawan AFP di lokasi.

    Tepukan gemuruh apabila Phyu Lay Khaing, 30, dibawa keluar dari Sky Villa Condominium oleh pasukan penyelamat dan dikeluarkan dengan berhati-hati menggunakan pengusung.

    Suaminya, Ye Aung, yang menunggu dengan penuh cemas, terus memeluknya sebaik sahaja pengusung diturunkan.

    “Pada mulanya, saya tidak fikir dia akan hidup,” kata Ye Aung kepada AFP.

    “Saya sangat gembira apabila mendapat berita baik ini,” tambahnya. Pasangan ini mempunyai dua anak lelaki – William, 8 tahun dan Ethan, 5 tahun.

    Penyelamat Myanmar mencari mangsa yang terselamat dalam gempa bumi Jumaat lalu di bawah bangunan yang rosak di Naypyitaw, Myanmar pada 29 Mac. – AP

    Menurut seorang pegawai Palang Merah, lebih 90 orang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan apartmen itu.

    Gempa bumi cetek bermagnitud 7.7 melanda barat laut Mandalay pada Jumaat petang, disusuli gegaran susulan 6.7 magnitud beberapa minit kemudian.

    Gegaran kuat itu telah merosakkan banyak bangunan, meruntuhkan jambatan dan membengkokkan jalan di seluruh Myanmar, dengan kemusnahan besar dilihat di Mandalay, bandar kedua terbesar di negara itu yang mempunyai lebih 1.7 juta penduduk. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda