Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita disyaki terlibat pelacuran ditahan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Seorang wanita tempatan berumur 24 tahun telah ditahan oleh pihak polis dalam satu serbuan di sebuah bilik sewa dalam bangunan perniagaan di kawasan Kampung Rimba Gadong petang kelmarin, selepas disyaki terlibat dalam kegiatan menawarkan perkhidmatan seks.

    Serbuan berkenaan adalah hasil maklumat awam dan pemantauan yang dijalankan oleh Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei.

    Dalam operasi berkenaan, pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sejumlah wang tunai yang dipercayai berkaitan dengan kegiatan tersebut.

    Suspek dan semua barang rampasan telah dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22, atas kesalahan menawarkan khidmat seks.

    Pasukan Polis Diraja Brunei dalam kenyataannya menyeru orang ramai supaya menjauhkan diri daripada terlibat dalam sebarang kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran, perjudian dan aktiviti lain yang menyalahi undang-undang negara.

    Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

    Semua di atas: Antara suasana semasa serbuan berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PPDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda