Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita ditahan bunuh pesakit kurang upaya

    POTSDAM, JERMAN, 29 APRIL – Seorang pekerja di klinik untuk orang kelainan upaya di luar Berlin ditahan hari ini kerana disyaki membunuh empat orang di pusat itu dan mencederakan individu kelima, kata polis, dengan motif masih tidak jelas.

    Mangsa terbunuh, dua wanita dan dua lelaki, ditikam dengan sebilah pisau lewat semalam di pusat berkenaan di bandar Potsdam, lapor akhbar Bild.

    Mereka yang terbunuh dipercayai pesakit di klinik jagaan itu, lapor akhbar tempatan Potsdamer Neueste Nachrichten.

    Polis berkata sebelum itu mangsa yang maut ‘diserang dengan ganas dan kekejaman melampau,’ namun tidak memberikan butir lanjut mengenai keadaan yang menyelubungi pembunuhan itu.

    Seorang kakitangan wanita berusia 51 tahun telah ditahan kerana disyaki melakukan serangan itu, menurut polis, sementara mengakui motif serangan masih belum diketahui.

    Pendakwa dijangka mengadakan sidang media pada lewat hari ini.

    Polis dipanggil ke klinik pada kira-kira 9 malam semalam, menurut laporan, dengan mangsa ditemui dalam bilik mereka.

    Kira-kira 65 orang tinggal di klinik itu, yang menggaji lebih daripada 80 orang. – AFP

    Paramedik meninggalkan hospital Klinik Oberlin di Potsdam, Jerman pada 28 April 2021. Agensi berita dpa melaporkan empat orang telah terbunuh di hospital dan seorang wanita telah ditahan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda