BANGKOK, 15 JULAI – Polis Thailand menahan seorang wanita hari ini yang dituduh menggoda beberapa sami Buddha untuk melakukan hubungan seksual dan kemudian memeras ugut mereka membuat bayaran besar bagi menutup hubungan mereka.
Sembilan ketua sami dan sami kanan yang terlibat dalam skandal itu telah dilucut daripada jawatan mereka, kata Biro Siasatan Pusat Polis Diraja Thailand.
Wilawan Emsawat, berusia pertengahan 30an, ditahan di rumahnya di wilayah Nonthaburi di utara ibu kota Bangkok atas tuduhan termasuk peras ugut, pengubahan wang haram dan menerima barangan curi. Polis berkata mereka mengesan wang yang dipindahkan kepadanya oleh seorang sami kanan dari akaun bank milik kuilnya di utara Thailand.
Wilawan tidak membuat kenyataan sejak ditangkap dan tidak jelas sama ada dia diwakili peguam. Bercakap kepada media tempatan sebelum ditangkap, dia mengakui melakukan satu hubungan dan berkata dia telah diberikan wang oleh sami itu.
Skandal yang melibatkan sami muncul beberapa kali setahun di Thailand tetapi biasanya tidak melibatkan ahli kanan.
Kes itu juga memberi tumpuan kepada sejumlah besar wang yang didermakan kepada kuil yang dikawal oleh ketua sami. – AP
