MAKASSAR, 9 JUN – Seorang wanita ditemui mati di dalam perut ular selepas ia menelan seluruh tubuhnya, kata seorang pegawai tempatan kelmarin.
Suami kepada Farida yang berusia 45 tahun dan penduduk kampung Kalempang di wilayah Sulawesi Selatan telah menemuinya pada Jumaat di dalam ular sawa yang berukuran kira-kira lima meter (16 kaki).
Usaha mencari dilakukan setelah ibu kepada empat anak itu hilang pada malam Khamis dan tidak pulang ke rumah, kata ketua kampung Suardi Rosi kepada AFP.
Suaminya telah, “menjumpai barang-barangnya dan membuatkan dia curiga. Penduduk kampung kemudian menggeledah kawasan itu. Tidak lama kemudian mereka ternampak seekor ular sawa dengan perut yang besar,” kata Suardi.
“Mereka bersetuju untuk memotong perut ular sawa itu. Sebaik sahaja mereka melakukannya, kepala Farida serta-merta kelihatan,” tambahnya. Farida ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap di dalam ular itu. Kejadian sebegini dianggap sangat jarang berlaku di Indonesia tetapi beberapa orang telah mati ditelan ular sawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tahun lalu, penduduk di daerah Tinanggea Sulawesi membunuh seekor ular sawa sepanjang lapan meter, yang ditemui membelit dan memakan seorang petani.
Pada 2018, seorang wanita berusia 54 tahun ditemui mati di dalam ular sawa sepanjang tujuh meter di bandar Muna, Sulawesi Tenggara.
Tahun sebelumnya, seorang petani di Sulawesi Barat hilang sebelum ditemui dimakan hidup-hidup oleh ular sawa sepanjang empat meter di ladang kelapa sawit. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/06/P11-Z-Sawa-web-Freepik_10062024.jpg)