MAKASSAR, 3 JULAI – Seorang wanita ditemui mati di dalam perut seekor ular sawa selepas ditelan keseluruhannya di Indonesia tengah, kata pihak berkuasa hari ini, menjadikan kes kematian akibat ular sawa adalah yang kedua direkodkan di wilayah itu dalam sebulan.
Siriati, 36, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya awal pagi kelmarin bagi membeli ubat untuk anaknya yang sedang sakit, menurut polis, yang kemudian memaksa keluarganya untuk melakukan pencarian.
Suaminya, Adiansa, 30, menemui selipar dan seluar Siriati di atas tanah kira-kira 500 meter dari rumah mereka di Kampung Siteba, wilayah Sulawesi Selatan.
“Sejurus selepas itu, dia melihat seekor ular sawa kira-kira 10 meter dari laluan tersebut. Ular itu masih hidup,” kata Ketua Polis Tempatan, Idul, kepada AFP.
Setiausaha kampung, Iyang, memberitahu AFP bahawa Adiansa mula curiga selepas melihat perut ular sawa tersebut yang ‘sangat besar’. Dia memanggil penduduk kampung untuk membantu membelah perut ular itu, di mana mereka menemui mayat Siriati.
Insiden sedemikian dianggap sangat jarang berlaku, namun beberapa orang telah ditelan oleh ular sawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Bulan lalu, seorang wanita ditemui mati di dalam perut seekor ular sawa batik di sebuah daerah lain di Sulawesi Selatan.
Tahun lalu, penduduk di wilayah itu membunuh seekor ular sawa sepanjang lapan meter, yang ditemui sedang membelit dan menelan salah seorang petani di sebuah kampung. – AFP
