Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Seorang wanita warga Filipina dihukum enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, kelmarin, atas pertuduhan mencuri wang.
Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Edna Manti Bayani, 46, yang mengaku bersalah mencuri wang AS$20, 300 euro, SG$250, 140 pound dan wang $300 pada 27 Disember 2018.
Kejadian berlaku apabila tertuduh yang bekerja sebagai tukang jahit diberi upah untuk membersihkan bilik tidur utama sebuah rumah di Kampung Sungai Hanching.
Tertuduh mengambil sampul surat yang mengandungi wang itu dari laci di bilik tersebut ketika pemiliknya tidak berada di rumah.
Perbuatan tertuduh bagaimanapun terbongkar apabila pemiliknya memeriksa rakaman CCTV.
Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Siti Mu’izzah binti Haji Sabli.