Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Mahkamah Majistret kelmarin telah menjatuhkan hukuman penjara satu tahun terhadap seorang warga Filipina kerana memasuki semula negara ini.
Gaira Mansurani Hamid, 53, juga diperintahkan untuk membayar denda $1,000, atau menjalani hukuman penjara tambahan selama sebulan, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang menyatakan dia telah memasuki semula Negara Brunei Darussalam pada 5 Mac 2016.
Pendakwa Imigresen Adi Yusra Adanan mendedahkan di mahkamah bahawa defendan telah ditahan pada 4:30 petang 19 Januari di kuarters sewanya di Kampung Kiulap oleh sepasukan pegawai imigresen yang mula curiga terhadapnya apabila mereka memeriksa
pasportnya.
Dia lalu dibawa untuk disoal siasat dan siasatan selanjutnya mendapati bahawa defendan telah dihantar pulang pada 25 Februari 2015 selepas dibebaskan daripada penjara kerana sabitan membawa masuk dadah ke negara ini dan sejak itu dia telah dilarang memasuki semula negara ini.
Majistret Syaffina binti Shahif seterusnya mendengar bahawa defendan telah menukar pasportnya supaya boleh masuk semula ke Brunei tanpa dikesan sebagai orang yang dilarang memasuki Brunei, untuk melawat suami dan anaknya yang berada di negara ini.