Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 30 Ogos – Seorang wanita berbangsa Filipina telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang diadakan di Dewan Pejabat Bahagian Dakwah, di sini, hari ini.
Dengan pengislaman itu, Mary Ann Salazar, 35, kini dikenali dengan nama Islamnya sebagai Dayang Nur Annisa Jahan binti Abdullah Salazar SR.
Hadir selaku tetamu kehormat untuk menyaksikan majlis pengislaman tersebut dan seterusnya menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada saudara baru berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku penghulu Mukim Liang.
Turut hadir ialah Penolong Ketua Bahagian Dakwah Daerah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah sebelum majlis pengislaman dan diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baru serta diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Dengan pengislaman Dayang Nur Annisa Jahan, Bahagian Dakwah Daerah Belait kini mencatatkan sembilan pengislaman daripada bangsa Filipina sejak awal Januari lalu.
Setakat ini juga, bahagian berkenaan mencatatkan seramai 48 orang telah memeluk agama Islam bermula awal Januari sehingga Ogos, manakala statistik pengislaman pada tahun lepas adalah 110 orang.
Bahagian Dakwah Daerah Belait menyatakan, setiap mualaf yang baru memeluk Islam dikehendaki untuk mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah, antaranya Kursus Bimbingan Pengenalan Islam selama 10 hari dikuti dengan Kursus Skim Bimbingan Asas 14 hari yang diadakan di Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait.
Setelah itu mereka dikehendaki untuk mengikuti Kursus Skim Bimbingan Lanjutan 1 dan 2 yang diadakan secara berasrama di Pusat Dakwah Islamiah, Kampung Pulaie, Berakas, Daerah Brunei dan Muara.