Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 FEB – Seorang wanita warga Filipina telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidup beliau dan melafazkan Ikrar Pengislaman serta Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang diadakan di Masjid Kampung Kapok, Jalan Muara, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Mohd Noor.
Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Hajah Zunainah binti Haji Gunong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz Ikrar Pengislaman serta Dua Kalimah Syahadah oleh Flordeliza Roxas Dalde, 47, di hadapan pegawai Bahagian Pengembangan Dakwah (Pengislaman), PDI, dan memilih nama Islamnya sebagai Aida Florida binti Abdullah.
Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu yang diraikan dengan iringan Dikir Marhaban serta ditutup dengan bacaan Doa Selamat.
KHEU melalui PDI dalam usaha berterusan mengembangkan syiar Islam di negara ini seperti melaksanakan majlis-majlis pengislaman, akan sentiasa memeduli kebajikan saudara-saudara baharu termasuklah melalui kursus-kursus serta bimbingan agama Islam yang diberikan kepada mereka.
Sejak awal Januari hingga 3 Februari tahun ini, seramai 31 orang telah memeluk agama Islam di Negara Brunei Darussalam dan daripada jumlah tersebut, 14 orang adalah dari Daerah Brunei dan Muara.
KHEU berharap syiar Islam akan terus berkembang dan diterima dengan hati yang terbuka oleh masyarakat di negara ini dan para mualaf khususnya, kerana agama Islam sememangnya satu pegangan hidup yang mulia yang menyukai perpaduan dan keamanan.