Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Seorang wanita berbangsa Filipina telah memilih Islam sebagai agama barunya setelah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di rumah salah seorang penduduk Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Haji Masri bin Haji Lamit, malam tadi.
Setelah melafazkan Dua Kalimah Syahadah, Julie Ann Aspiras Caluza, 21, dari Kampung Jerudong kini dikenali dengan nama Islamnya, Nur Aaisha Sofia Jia binti Abdullah Caluza.
Pemangku Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar turut hadir menyaksikan majlis pengislaman tersebut.
Menurut PDI, setiap mualaf yang baru memeluk agama Islam dikehendaki mengikuti kursus yang dianjurkan oleh pusat berkenaan iaitu Kursus Bimbingan Pengenalan selama 10 hari dan Kursus Skim Bimbingan Asas selama 14 hari di Bahagian Dakwah Daerah Belait kemudian Kursus Bimbingan Lanjut 1 dan 2 yang diadakan secara berasrama di PDI Kampung Pulaie, Daerah Brunei dan Muara.
Unit Pengislaman, PDI telah mencatatkan seramai 409 orang saudara baru yang memeluk Islam sepanjang tahun lalu manakala itu, bagi Januari 2018, Daerah Brunei dan Muara mencatatkan 11 orang saudara baru.