Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Wanita mengandung mempunyai risiko tinggi dijangkiti COVID-19 berbanding orang biasa, terutama sekali bagi yang mengalami penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi atau mempunyai berat badan yang berlebihan.
Sebagai langkah pengawalan, golongan yang berisiko tinggi ini dinasihatkan untuk mengikut apa jua arahan yang diberikan seperti menggunakan pelitup muka apabila perlu keluar dan paling penting mengambil suntikan vaksinasi.
Walau bagaimanapun, bagi ibu mengandung yang bekerja terutama yang perlu bekerja di luar dan bukan bekerja dari rumah sebagai contoh doktor atau jururawat yang sangat diperlukan pada masa ini, mereka terpaksalah bekerja di mana mereka akan ditempatkan
di tempat yang kurang berinteraksi dengan orang ramai.
Begitu juga dengan pekerjaan lain yang memerlukan mereka bekerja dari pejabat, mereka dinasihatkan untuk mengurangkan interaksi bersama orang ramai.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Dato juga menasihatkan orang ramai dan pihak majikan agar bersama saling membantu antara satu sama yang lain bagi memastikan mereka yang mempunyai risiko tinggi tersebut dapat mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19 dengan seminimum yang mungkin semasa mereka menjalankan pekerjaan.