SINGAPURA, 8 JUN – Seorang wanita berusia 42 tahun telah ditahan di Lapangan Terbang Changi dan sedang disiasat kerana telah menghina seorang penjawat awam, menurut kenyataan polis hari ini.
Wanita itu telah ditahan di Terminal 1, selepas pihak polis menerima panggilan meminta bantuan sekitar jam 6:25 petang pada 6 Jun dan siasatan polis masih lagi dijalankan ke atas kes tersebut.
Rakaman video mengenai penahanan itu telah tular di sebuah platform media sosial China, Xiaohongshu, kelmarin.
Dalam klip tersebut, tiga anggota polis dilihat menahan seorang individu di atas lantai di kawasan daftar masuk bagasi yang turut disaksikan oleh orang ramai termasuk kanak-kanak.
Suara jeritan seorang wanita yang panik kedengaran, manakala dua beg dilihat terletak berhampiran dengannya di kawasan bawah restoran Terrace Chinese Kitchen.
Pengguna Xiaohongshu yang memuat naik video tersebut berkata, wanita berkenaan mempunyai rambut bewarna coklat, bertatu di lengan kiri dan kelihatan seperti berbangsa Asia.
Menurut pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Liew M.K., wanita itu dilihat memukul mesin daftar masuk layan diri dengan penuh kemarahan.
Beberapa kakitangan lapangan terbang tersebut yang dipercayai pegawai keselamatan, telah mendekatinya dan cuba untuk menghentikan tindakan tersebut. – ANN/The Straits Times
