Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wanita Iban terima hidayah

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 31 Okt – Seorang lagi wanita berbangsa Iban memilih untuk memeluk agama Islam, setelah melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis pengislaman yang berlangsung di Dewan Serba Guna Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait, di sini, hari ini.

    Manis anak Ungin, 38, yang masih bujang telah memilih nama Islamnya sebagai Nurain binti Abdullah Ungin.

    Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Awang Muhammad Rushdi bin Abdullah Jantan sebelum acara pengislaman yang dikendalikan oleh Dayang Siti Zalikha binti Abdul Karim.

    Kemudian, majlis disusuli dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baru yang disempurnakan oleh Ketua Bahagian Dakwah Daerah Belait, Haji Roslan bin Haji Ratu dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

    Dengan pengislaman Dayang Nurain, Bahagian Dakwah Daerah Belait telah mencatatkan seramai 62 orang yang memeluk agama Islam di daerah ini sejak awal Januari.

    Haji Roslan menyampaikan cenderahati kepada Dayang Nurain.

    Selain itu, statistik jabatan berkenaan turut menunjukkan bangsa Iban mencatatkan jumlah tertinggi pengislaman sejak awal tahun ini iaitu seramai 34 orang, diikuti bangsa Filipina seramai 11 orang dan bangsa Cina tujuh orang.

    Tahun lalu, Bahagian Dakwah Daerah Belait telah mencatatkan seramai 110 orang saudara baru.

    Penolong Ketua Bahagian Dakwah Daerah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan memberitahu Media Permata, setiap mualaf yang baru memeluk Islam dikehendaki untuk mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan oleh Pusat Dakwah Islamiah.

    Antaranya, Kursus Bimbingan Pengenalan Islam selama 10 hari, Kursus Skim Bimbingan Asas 14 hari yang diadakan di Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait seterusnya Kursus Skim Bimbingan Lanjutan 1 dan 2 yang diadakan di Pusat Dakwah Islamiah Kampung Pulaie, Daerah Brunei dan Muara.

    “Kursus-kursus tersebut adalah untuk memberikan pengetahuan dan kefahaman yang mendalam ke atas beberapa perkara tentang agama Islam kepada kalangan saudara-saudara baru kita,” ujarnya.

    Beliau juga menyeru supaya saudara-saudara baru akan sentiasa aktif menyertai mana-mana aktiviti keagamaan yang dihasratkan untuk meningkatkan dan menambahkan pengetahuan mereka dari semasa ke semasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda