Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OGOS – “Kejayaan sesebuah keluarga tidak dapat dipisahkan daripada peranan seorang wanita, sama ada sebagai seorang isteri, ibu, anak mahupun anggota Masyarakat”.
Dalam sesebuah rumah tangga, wanita diibaratkan sebagai tiang kepada sesebuah rumah tersebut, dan jika kukuh tiangnya, maka kukuhlah rumah itu, tetapi jika goyah, maka runtuhlah seluruh bangunan.
Sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih daripada Abdullah bin ‘Umar RA: “Seorang lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab ke atas keluarganya, manakala seorang isteri menjadi pemimpin yang bertanggungjawab menguruskan rumah suaminya dan anak-anaknya” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).
“Justeru itu, Wanita yang cemerlang bukan semata-mata yang cantik luaran atau berjaya di tempat kerja, tetapi ialah wanita yang menjaga adabnya, imannya, dan keperibadiannya.”
Perkara ini antara lain yang diungkapkan dalam Tazkirah bertajuk Wanita Cemerlang, Keluarga Gemilang disampaikan oleh Da’ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Dayang Siti Amal Zakiah binti Haji Md Yusof, bagi menyerikan Malam Munajat Khas untuk Wanita Ke-26 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-192, kelmarin.
Acara Munajat malam itu disertai oleh ahli-ahli wanita Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) yang bersiaran dari Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis/Madang.
Turut serta, ahli jawatankuasa takmir dan para jemaah dari beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat seluruh negara, dan warga kerja wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama keluarga serta individu yang turut hadir secara maya dari kediaman masing-masing.
Hadir menyerikan lagi acara Munajat, Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Malam Munajat dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pengarah Bahagian Wanita, PGGMB, Pengiran Hajah Rakiah binti Pengiran Haji Abu Bakar, dari Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis/Madang.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Waqiah beramai-ramai dipimpin oleh Dayang Hajah Jusnani binti Awang Taha, ahli wanita, PGGMB.
Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Pelajaran Ugama Kanan di Jabatan Pengajian Islam, Dayang Ernalisa @ Hanisah ‘Aqilah binti Haji Shaheed.
Sejurus selesai Tazkirah, diteruskan dengan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Dayang Hajah Hajidah binti Haji Abd Wahab, ahli wanita PGGMB.
Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengajian Islam, Dayang Norsiuqiyah binti Awang Jamil.
Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya.
Disamping merafakkan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.
Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu.


