JAKARTA, 20 SEPT – Mahkamah Indonesia menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda yang berat terhadap seorang wanita selepas dia membaca doa sebelum makan daging khinzir dalam video TikTok tular yang dikritik secara meluas di negara majoriti Islam itu.
Lina Mukherjee, 33, didapati bersalah “menyebarkan maklumat bertujuan mencetuskan kebencian terhadap individu agama dan kumpulan tertentu” di mahkamah kelmarin di bandar Palembang, Sumatera Selatan, menurut keputusan itu.
Ia berlaku selepas seorang penduduk melaporkan Mukherjee pada Mac berkaitan video itu, yang mendapat berjuta-juta tontonan, di mana dia membaca doa sebelum memakan kulit khinzir.
Mukherjee mengaku Muslim dan tindakannya dikutuk oleh kumpulan konservatif termasuk badan ulama tertinggi negara itu, Majlis Ulama Indonesia yang mengeluarkan kenyataan menyebut video itu menghina agama.
Dia juga didenda 250 juta rupiah (AS$16,200) yang mana hukuman penjaranya akan dilanjutkan selama tiga bulan jika tidak dibayar. – AFP