JAKARTA, 17 DIS – Seorang wanita maut diserang buaya ketika mencari makanan di tepi pantai di wilayah Sumatera Utara, Indonesia.
Mangsa maut kelmarin dengan kecederaan parah di bahagian tangan dan kaki selepas pihak berkuasa di daerah Nias Selatan menembak mati buaya itu, menurut pegawai tempatan Kornelius Wau, lapor agensi berita Jerman, dpa.
“Penduduk menghadapi kesukaran untuk melepaskan mangsa daripada cengkaman buaya itu. Mereka hanya berjaya melepaskan mangsa daripada buaya itu selepas beberapa jam,” kata Kornelius.
Beliau turut menjelaskan buaya itu sudah lama berkeliaran di kawasan berkenaan dan penduduk sebelum ini melaporkan kehadiran reptilia itu.
Indonesia mencatatkan serangan buaya air masin tertinggi di dunia dengan kira-kira 1,000 insiden dalam tempoh sedekad lalu yang mengakibatkan lebih 450 kematian, menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Serangan buaya ke atas manusia di Indonesia sering dikaitkan dengan pencerobohan habitat dan kemerosotan alam sekitar. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/12/P11-E-web-Canva_18122024.jpg)